'Tiada komen, hanya perlu tunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan', Fahmi jawab status Najib


  • Primer
  • Rabu, 31 Jan 2024

Fahmi Fadzil menggesa semua pihak menunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga Pengampunan. — The Star

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil menggesa semua pihak termasuk media tempatan dan luar negara tidak mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung status pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi dan dakwaan berkenaan perkara itu tersebar di media sosial termasuk dakwaan pengurangan hukuman penjara Najib yang dilaporkan media Singapura, Channel News Asia (CNA).

Menjawab berkenaan laporan tersebut, Fahmi menjelaskan bahawa sudah bertemu dengan wartawan daripada media tersebut serta menafikan dirinya sebagai sumber utama yang memberikan maklumat seperti dinyatakan dalam laporan itu.

"Saya sudah bertemu dengan wartawan dari CNA dan berbincang tentang laporan yang dikeluarkan itu.

"Saya bukan sumber utama yang memberi maklumat tersebut," katanya.

BACA LAGI : Ingkar amaran menteri, media asing lapor jumlah hukuman penjara Najib Razak dikurangkan

1579877

Status Najib yang masih belum dapat dipastikan sepenuhnya. — The Star

BACA LAGI : Status Najib: Kabinet dimaklumkan, tapi bukan bidang kuasa kami — Saifuddin

Pada masa sama, Fahmi turut menegaskan bahawa, semua pihak perlu menunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga Pengampunan berhubung kes Najib.

"Tiada apa yang saya boleh komen, semua media perlu tunggu sahaja kenyataan daripada Lembaga Pengampunan," jelasnya.

Pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengesahkan Lembaga Pengampunan sudah mengadakan mesyuarat di Istana Negara pada Isnin.

Beliau berkata, satu kenyataan rasmi bakal dikeluarkan Lembaga Pengampunan berhubung mesyuarat berkenaan.

Zaliha yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan sama ada salah satu agenda mesyuarat itu adalah bagi memutuskan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, beberapa media sejak Selasa melaporkan mengenai keputusan yang dicapai dalam mesyuarat berkenaan.

Terbaru, sebuah media Singapura yang memetik beberapa sumber pegawai kerajaan, pada Rabu melaporkan bahawa Lembaga Pengampunan dipercayai membuat keputusan bagi mengurangkan hukuman penjara dihadapi Najib daripad 12 tahun kepada enam tahun.

Channel News Asia (CNA) dalam laporan sama turut menyatakan bahawa keputusan itu turut melibatkan pengurangan jumlah denda RM210 juta kepada satu jumlah yang tidak didedahkan.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berhubung dana RM42 juta daripada SRC International, yang merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga kini berdepan perbicaraan salah guna kuasa melibatkan dana mencecah RM2.28 bilion, yang juga dipercayai hasil daripada 1MDB. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram