NIAT dua rakan merakam pemandangan matahari terbit bertukar panik selepas melihat kemalangan tak terduga berlaku di sebuah jeti memancing berhampiran Pantai Virginia, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu.
Saksi, Kaylynn Crawford, 16, dan seorang lagi rakannya dilaporkan berada di lokasi kejadian sebelum mendengar bunyi dentuman yang kuat di lokasi kejadian.
Mereka juga dikatakan melihat sebuah kereta yang melalui jeti berkenaan sebelum terjatuh ke dalam laut.
BACA LAGI: Ibu, 3 anak cedera kereta terjunam masuk gaung di JB
BACA LAGI: Pajero hilang kawalan, 3 cedera rempuh Jambatan Yayasan Sabah sebelum terjunam
Pada masa sama, Kaylynn sempat merakam detik-detik kejadian dan memuat naiknya di Facebook.
Susulan kejadian itu, Jurucakap Jabatan Polis Pantai Virginia, Jude Brenya berkata, pemandu kereta tersebut dipercayai salah jalan dan merempuh kawasan jeti kayu itu.
Jude berkata, kereta itu sudah tenggelam sepenuhnya ke dalam laut sebaik sahaja polis tiba di lokasi kejadian.
Jumlah individu yang berada dalam kenderaan terbabit juga dilaporkan tidak dapat dikenal pasti dan polis menganggap pemandu kereta itu maut.
"Punca kemalangan juga belum dapat dipastikan setakat ini," katanya.
Sementara itu, Unit Peronda Marin juga sudah dikejarkan ke lokasi itu untuk membantu membawa naik kenderaan yang berada di dalam laut ketika itu.
"Polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan lain bagi menyelamatkan kenderaan dan mengesan mangsa yang terlibat," katanya lagi.
Jeti tersebut turut dilaporkan akan ditutup buat sementara waktu ekoran kejadian itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram