[VIDEO] MBSP kompaun pemilik anjing serang, gigit pelajar di Seberang Perai


  • 112
  • Rabu, 31 Jan 2024

Tangkap layar CCTV memaparkan dua orang pelajar ketika diserang oleh seekor anjing bertuan di hadapan sebuah rumah di Pulau Pinang pada Selasa.

MAJLIS Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sedang mengesan pemilik anjing yang telah menyebabkan kecederaan kepada seorang pelajar sekolah di perkarangan rumah di Taman Pekatra Indah, Simpang Ampat, Nibong Tebal, Seberang Perai, Pulau Pinang pada Selasa.

Pada masa sama, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memaklumkan bahawa pihaknya akan mengeluarkan kompaun terhadap pemilik anjing tersebut dan melakukan pemeriksaan terperinci di kawasan rumah itu.

BACA LAGI : Budak perempuan lari tak cukup tanah 'diserang' anjing di Seberang Perai

BACA LAGI : Bagai naik hantu, warga emas disyaki pukul anjing hingga mati di Bukit Mertajam

Anjing berkenaan bagaimanapun dilaporkan telah dipindahkan oleh pemilik ke sebuah pusat perlindungan haiwan di Butterworth.

“Oleh itu, MBSP akan melaksanakan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai lokasi sebenar anjing terbabit berada dan tindakan dengan mengeluarkan kompaun menyebabkan kacau ganggu di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada pemilik akan diambil.

“Manakala mengenai kes gigitan anjing, perkara ini adalah dibawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan mangsa dinasihatkan untuk membuat rawatan dan pemeriksaan susulan di klinik atau hospital berhampiran.

“Kes ini akan disalurkan kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut di bawah Protokol Veterinar Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan dua pelajar perempuan sedang berjalan kaki dipercayai untuk ke sekolah sebelum seekor anjing dari sebuah rumah secara tiba-tiba menyerang dan menggigit salah seorang pelajar itu.

Dalam video sama, pemilik anjing terbabit dilihat cuba menghentikan tindakan haiwan peliharaannya dengan menjerit, namun tindakan agresif anjing tersebut tidak dapat dihentikan.

Dalam pada itu, haiwan berkenaan dilihat terus menyerang dan menggigit pelajar sekolah terbabit hingga mangsa jatuh beberapa kali.

Bagaimanapun, seorang lagi pelajar dilihat sempat menyelamatkan dirinya dengan menyorok di belakang sebuah kenderaan di lokasi kejadian sebelum dibantu oleh seorang wanita yang melalui kawasan itu.

Bukan itu sahaja, kejadian tersebut turut dibantu seorang lelaki yang melihat kejadian tersebut dengan menghalau anjing itu dengan sebatang kayu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram