Rumah mahal tetapi kualiti reban ayam, tuan rumah berderau nyaris dihempap pagar di Kluang


  • Massa
  • Selasa, 30 Jan 2024

Rata-rata warga maya menzahirkan rasa simpati kepada penduduk di taman perumahan tersebut kerana terpaksa membayar harga rumah yang mahal tetapi tidak berkualiti.

IMPIAN untuk memiliki kediaman yang sempurna tidak menjadi kenyataan buat seorang pembeli di Kluang, Johor baru-baru ini.

Manakan tidak, rumah baharu yang dibelinya itu didakwa dibina dengan sambil lewa oleh pemaju.

Tidak berpuas hati dengan sikap pemaju berkenaan, Razali Jamari bertindak meluahkan perkara tersebut di laman media sosial Facebook.

Menurut Razali, salah seorang pembeli di kawasan perumahan tersebut nyaris dihempap pagar selepas tiang pagar berkenaan roboh secara tiba-tiba.

BACA LAGI: [VIDEO] Macam 'WWE', pencuri motosikal tergamam kena hempuk 'owner' di Sabah

"Kepada pemaju seluruh Malaysia,kalau nak untung lebih janganlah buat seperti ini.

"Naya kepada pembeli. Tuan rumah nyaris dihempap tiang pagar yang diisi dengan sampah sarap sahaja.

"Ini rumah baharu, pemilik pun baru dapat kunci dan baru sebulan tinggal di rumah ini," luahnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Budak perempuan lari tak cukup tanah 'diserang' anjing di Seberang Perai

Dia turut memuat naik satu gambar yang memaparkan sebuah tiang pagar rumah yang didakwa diisi dengan sampah oleh pekerja pemaju perumahan tersebut.

Hantaran Facebook yang dibuat pada awal bulan lalu turut menjadi bualan warga maya di laman X (Twitter), @sidchan apabila ditularkan semula pada Isnin.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial mempertikaikan kerja pemaju perumahan tersebut.

Seorang pengguna media sosial, @karlbarats meluahkan rasa marah selepas melihat gambar tersebut.

"Rumah mahal tetapi kualiti reban ayam, reban ayam pun lagi elok. Tak guna punya pemaju buat pemilik seperti ini. Neraka paling atas tempat kau," tulisnya.

Sementara itu @izsmin pula meluahkan rasa simpati terhadap pemilik-pemilik di taman perumahan tersebut kerana terpaksa membayar harga rumah yang mahal tetapi tidak berkualiti.

"Ini taman perumahan baharu, sebab saya banyak uruskan pinjaman para pembeli.

"Tak sangka binaannya begitu, kesian pada pembeli. Bukan murah, paling murah RM225,000 dan bayaran bulanan mencecah RM1,300," katanya.

Setakat berita ini ditulis, difahamkan penduduk dan pembeli di kawasan tersebut sudah memaklumkan perkara itu kepada pemaju.

Difahamkan, pemaju juga berjanji akan membuat pemeriksaan dan membina semula pagar yang roboh itu kepada pemilik kediaman yang terjejas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram