'Jalan teruih', PERKESO perlu sentiasa perbaharui dasar dan program perlindungan pekerja, tegas Steven Sim


  • Primer
  • Khamis, 14 Dis 2023

Steven Sim (tengah) ketika mengadakan lawatan rasmi ke Menara PERKESO, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis.

SUSULAN pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia yang baharu, Steven Sim Chee Keong telah mengadakan lawatan kerja rasminya ke Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada hari kedua selepas beliau dilantik menyandang tugas tersebut.

Turut sama dalam rangka lawatan tersebut adalah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang tiba tepat pukul 11 pagi di pekarangan Menara PERKESO, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau dibawa meninjau operasi di kaunter sebelum menghadiri taklimat khas dan penerangan terperinci berhubung selok-belok PERKESO, sebagai agensi keselamatan sosial yang tertubuh sejak Oktober 1971 itu.

Lawatan rasmi tersebut dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

stenebe

Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) ketika memberikan penerangan berkenaan selok belok PERKESO kepada Steven Sim Chee Keong.

Dalam pada itu, Steven Sim menerusi ucapannya sempat meninggalkan amanat kepada warga kerja PERKESO selepas diberikan taklimat berkaitan agensi keselamatan sosial tersebut.

"Seluruh dunia sedang berkembang pesat. Andai kita masih di takuk lama, kita akan ketinggalan, lipat gandakan usaha, sematkan tekad perjuangan kita demi limpah manfaat masyarakat.

"PERKESO perlu sentiasa memperbaharui dasar dan program perlindungan pekerja, selaras perkembangan semasa.

"Terutama risiko-risiko terkini seperti perubahan iklim, teknologi, pola ekonomi serta pasaran kerja. Jalan teruih," katanya.

steven ucap

Steven Sim Chee Keong ketika memberikan ucapan ketika mengadakan lawatan rasmi ke Menara PERKESO, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Turut diperincikan dalam taklimat berkenaan adalah perkembangan isu semasa, termasuk insiden pencerobohan siber pada 2 Disember lalu, yang ketika ini di peringkat siasatan forensik dalaman.

Selain itu, Steven Sim dan Abdul Rahman turut dimaklumkan mengenai rencana pemulihan semua sistem teras PERKESO yang sudah kembali beroperasi seperti sedia kala. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram