LANGKAH Kementerian Pengangkutan di Sarawak dengan membiayai latihan untuk 300 pemandu bas baharu dijangka bakal mengubah sektor pengangkutan awam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementeriannya bakal menyediakan latihan buat calon untuk mendapatkan kelas E dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dengan Kerajaan Persekutuan menanggung kos antara RM 3,000 dan RM 5,000 seorang.
Penasihat Persatuan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak, Lau Khing Seng mengalu-alukan langkah itu dan mahu ia dijalankan segera.
"Kami mengalami kekurangan pemandu bas di Sarawak dan memerlukan antara 200 hingga 300 pemandu.
"Ada yang mahu membawa bus tapi tidak mampu membayar yuran yang diperlukan untuk lesen yang boleh mencecah sehingga RM 6,000 setiap seorang," katanya.
Lau, yang sudah berada di dalam industri lebih 50 tahun berkata, syarikat bas di negeri ini terpaksa memberhentikan perkhidmatan bas mereka kerana kekurangan pemandu.
"Kami ada bas, tapi pemandu tidak mencukupi. Jadi, perkhidmatan bas terpaksa diberhentikan.
Lau berkata Sarawak memerlukan 300 pemandu bas
BACA LAGI: Kena bicara walau tiada isu rasuah, bekas peguam perjelas sebab Tun Daim kena dakwa
"Dengan Lebuhraya Pan Borneo yang hampir siap, orang ramai lebih gemar melalui jalan darat," jelasnya.
Menurut Lau, permintaan terhadap bas akan menjadi sangat tinggi seperti musim Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Gawai.
Untuk mendapatkan lesen memandu bas, seseorang itu harus mempunyai lesen memandu kompeten (CDL) kelas D atau E yang berharga antara RM 2,000 hingga RM 3,000, sebelum meneruskan untuk mendapatkan lesen PSV pada kos yang sama.
Dalam pada itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan meneliti insurans perlindungan untuk bas.
"Buat masa ini, hanya satu syarikat insurans yang boleh memperbaharui polisi insurans kami.
"Sepatutnya lebih banyak lagi supaya kita boleh membandingkan insurans premium dan mendapatkannya pada kadar yang kompetitif," katanya.
Lau juga menyentuh mengenai tambang bas.
"Kos pengoperasian bas semakin tinggi, tetapi kami masih mengenakan tambang yang sama yang tidak disemak sejak 15 tahun lalu," katanya. — The Star/ANDY CHUA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram