[VIDEO] Penuh kesan tembakan, 6 mayat ditemukan bergelimpangan di kawasan gurun di California


  • Benua
  • Khamis, 25 Jan 2024

Tangkap layar video memaparkan kereta yang dipercayai dinaiki kesemua mangsa di Gurun Mojave, California, Amerika Syarikat.

SEBANYAK enam mayat dipenuhi kesan tembakan ditemukan bergelimpangan di sebuah kawasan terpencil yang terletak di Gurun Mojave di daerah San Bernardino, California, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Bahagian Siasatan Khusus Jabatan Syerif Daerah San Bernardino dilaporkan berkata, kesemua mangsa dijumpai di berhampiran dua buah kenderaan yang mempunyai beberapa kesan tembakan.

Menururut jurucakapnya, Mara Rodriguez, mayat ditemui sekitar pukul 8.15 malam pada Selasa sebelum menemukan jasad mangsa keenam pada Rabu pagi.

BACA LAGI: Tiga kes bunuh bermotifkan cemburu buat rakyat Malaysia cukup 'triggered'

Pada masa sama, Mara berkata, beberapa mayat juga didapati mempunyai kesan terbakar di lokasi kejadian.

Namun, punca kejadian dikatakan masih dalam siasatan dan identiti mangsa juga belum dapat dipastikan.

"Penyiasat kami akan terus melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini dengan cepat dan mendapatkan semua maklumat agar dapat memberi keadilan kepada mereka.

"Kami belum mengesahkan jantina atau umur mana-mana mangsa yang meninggal dunia pada setakat ini," katanya pada Khamis.

Mara berkata, pihaknya meminta agar orang awam atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi Bahagian Siasatan Khas untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, sebuah video memaparkan operasi menyelamat yang dijalankan pihak berkuasa di lokasi kejadian tular di media sosial sejak Khamis.

Dalam video sama, kelihatan juga beberapa kenderaan pihak berkuasa termasuk sebuah helikopter tiba difahamkan bagi membantu siasatan berhubung kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram