[VIDEO] Bintulu dilanda badai, atap bumbung tercabut diterbangkan angin kencang


  • 112
  • Khamis, 18 Jan 2024

Tangkap layar angin kencang menerbangkan bumbung premis bangunan di Blok 2 Iris Garden Apartment, Jalan Sultan Iskandar dekat Bintulu, Sarawak.

PENDUDUK di beberapa buah rumah di Blok 2 Iris Garden Apartment, Jalan Sultan Iskandar dekat Bintulu, Sarawak berdepan dengan detik menakutkan selepas bumbung premis bangunan itu diterbangkan oleh angin kencang pada Khamis.

Kejadian sekitar pukul 2 petang itu juga sempat dirakam oleh beberapa penghuni di kawasan tersebut dan dimuat naik di media sosial pada hari yang sama.

Melalui beberapa video yang dikongsikan, kelihatan bumbung pangsapuri di kawasan perumahan itu diterbangkan angin kencang dan ada di antaranya kemudian menghempap kenderaan penduduk.

BACA LAGI: [VIDEO] Gagal kawal emosi punca lelaki misteri tiba-tiba terajang pak guard di JB

BACA LAGI: [VIDEO] Ada rekod jenayah dan dadah, 5 suspek termasuk pakcik 43 tahun gaduh guna kayu di JB kena cekup

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 2.11 petang.

Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak menerima panggilan daripada MERS 999 mengenai kejadian tersebut, sekali gus mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Bintulu bergegas ke lokasi kejadian.

"Tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan empat anggota mengguna Unit Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) diketuai PBK II Fabian Andy Jesi telah ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Setakat berita ini ditulis, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram