[VIDEO] Tiada kad akses punca lelaki sepak pak guard di pangsapuri JB


  • Massa
  • Rabu, 24 Jan 2024

Tangkap layar CCTV memaparkan seorang lelaki menendang pengawal keselamatan di Pangsapuri Rimba Kota, Johor Bahru, Johor pada 16 januari lalu.

GAGAL mengawal emosi kerana tidak dapat mangakses untuk menaiki lif membuatkan seorang lelaki mengasari pengawal keselamatan di Pangsapuri Rimba Kota, Johor Bahru, Johor pada 16 Januari lalu.

Terdahulu, kejadian tersebut sempat tular di media sosial menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.

Dalam kejadian, seorang lelaki dilihat menendang seorang pengawal keselamatan warga asing yang sedang duduk di kerusi.

BACA LAGI: Gagal kawal emosi punca lelaki misteri tiba-tiba terajang pak guard di JB

BACA LAGI: Hubungan cinta terhalang punca kes gaduh di Shah Alam

Dalam pada itu, semakan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) mendapati bahawa lelaki terbabit merupakan penghuni pangsapuri tersebut.

Presidennya, Mohammad Ubaidillah Enam@Iman berkata, punca sebenar kejadian adalah kerana tidak mempunyai kad akses untuk menaiki lif.

Katanya, PIKM turut menerima dua maklumat berbeza berkenaan punca tersebut.

"Ada dua maklumat yang kami terima iaitu kad akses disekat dan tertinggal," katanya kepada Majoriti.

Ubaidillah berkata, pengawal tersebut bagaimanapun sudah membuat laporan polis di Johor Bahru Central dan kejadian dikatakan masih dalam siasatan.

"Buat masa ini, kami memantau perkembangan pengawal ini melalui majikannya yang juga ahli PIKM.

"PIKM mengutuk sekeras-kerasnya kejadian ini dan meminta pihak polis mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya tanpa mendedahkan identiti mangsa.

Sementara itu, Ubaidillah menjelaskan bahawa semua penghuni termasuk orang luar perlu mematuhi peraturan dan undang-undang serta mengikut segala proses atau saluran yang disediakan bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

"Penghuni bangunan atau sesiapa sahaja yang masuk kawasn ada pengawal perlu patuh pda peraturan yang ada dan paling penting mereka juga perlu hormat setiap pengawal keselamatan yang bertugas," tambahnya.

Namun, sehingga kini masih tiada kenyataan dikeluarkan pihak polis Johor Bahru berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram