Bukan takat bersilat, tuah minat gamelan jadi rezeki Nicholas mengajar banyak sekolah di Johor


  • Hiburan
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Nicholas (tengah) menampilkan bakatnya melatih anak murid bermain alat muzik tradisional Melayu.

MINAT yang mendalam terhadap muzik tradisional Melayu gamelan bukan setakat mendorong B. Nicholas mempelajarinya sejak di bangku sekolah, malah kini menjadi tenaga pengajar di beberapa sekolah di Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Pemuda berbangsa India berusia 23 tahun itu, mengajar gamelan secara separuh masa di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Perintis 1, SK Medini, SK Ladang Pendas, SK Nusantara dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelang Patah, Johor Bahru, sejak 2017.

Beliau telah melatih kira-kira 50 pelajar bermain alat muzik gamelan iaitu gong, gendang ibu, gendang anak, saron baron, jidor, serunai dan kerincing.

Memiliki Diploma Seni Muzik daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Nicholas berkata, cintanya terhadap muzik tradisional itu berputik selepas mendengar alunan gamelan ketika sedang menjalani latihan silat di sekolah.

"Semasa di bangku sekolah, saya aktif dalam seni bela diri silat dan daripada situ saya kerap mendengar muzik gamelan hingga lama-kelamaan tertarik dengan bunyinya yang bagi saya sangat unik dan mengasyikkan.

"Sebenarnya saya sudah terbiasa dengan tradisi dan budaya orang Melayu, sebab itu tidak rasa kekok, malah sejak kecil kawan-kawan ramai Melayu dan bersekolah di sekolah kebangsaan. Datuk pula seorang askar, jadi apabila di rumah bahasa harian ahli keluarga kami ialah bahasa Melayu,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, beliau mengajar gamelan pada setiap hari Khamis dan Jumaat di sekolah berkenaan, manakala pada hari biasa bekerja sebagai pengawal keselamatan di SK Medini.

ISKANDAR PUTERI, 15 Sept -- Guru muzik Gamelan berbangsa India, B Nicholas menjadi tenaga pengajar separuh masa muzik tradisional Melayu itu di beberapa buah sekolah di sekitar Iskandar Puteri ketika ditemui Bernama di Sekolah Kebangsaan Medini baru-baru ini. Memiliki Diploma Seni Muzik daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Nicholas berkata cintanya terhadap muzik tradisional itu berputik selepas mendengar alunan gamelan ketika sedang menjalani latihan silat di sekolah.Hingga kini, beliau telah melatih kira-kira 50 pelajar bermain alat muzik gamelan iaitu gong, gendang ibu, gendang anak, saron baron, jidor, serunai dan kerincing.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

'Saya tidak lihat menjadi masalah jika kita mahu belajar tentang tradisi dan warisan budaya kaum lain, kerana Malaysia unik dalam kepelbagaian kaumnya. Apa yang penting ialah mengekalkan warisan ini, tidak kira siapa individu itu,' kata Nicholas.

Beliau berbangga kerana sejak menjadi tenaga pengajar, sebahagian daripada pelajarnya berjaya mewakili Johor ke pertandingan gamelan peringkat kebangsaan serta memenangi beberapa anugerah.

Katanya selain memasuki pertandingan, mereka turut diundang untuk membuat persembahan di pelbagai majlis formal dan keraian.

Mengidolakan seniman negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Nicholas memasang hasrat untuk membuka studio pada suatu hari nanti bagi melatih kanak-kanak dan generasi muda untuk menjadi pelapis memelihara seni warisan masyarakat Melayu itu.

Beliau juga percaya melalui muzik, perpaduan antara kaum dapat diperkukuh, sekali gus dapat mengenali secara lebih dekat keunikan yang dimiliki antara satu sama lain.

"Bagi saya, tiada masalah sekiranya sesuatu bangsa itu ingin mempelajari apa-apa tradisi dan seni warisan bangsa lain, lebih-lebih lagi di Malaysia yang sangat unik dengan kepelbagaian kaum.

"Apa yang penting seni warisan ini perlu dipelihara, tidak kira siapa pun individu itu yang berusaha untuk membantu mengekalkannya,” katanya. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram