'Tak perlu jerit sampai hilang suara', pengulas sukan ditegur lupa tugas, keterlaluan


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jan 2024

DI sebalik sambutan kejayaan Harimau Malaya untuk mengikat Korea Selatan pada Khamis, terdapat pihak menimbulkan kegusaran mengenai tahap kualiti ulasan perlawanan yang ditampilkan stesyen TV tempatan. — Agensi

HARIMAU Malaya menamatkan saingan Piala Asia dengan keputusan positif apabila berjaya mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Al-Janoub, Doha, Qatar pada Khamis.

Meskipun gagal layak ke pusingan seterusnya, keputusan itu tetap memberikan kegembiraan khususnya buat penyokong skuad Kebangsaan apabila melihat pasukan kesayangan bersaing sama hebat dengan pasukan gergasi Asia itu yang turut dibintangi pemain ternama, Son Heung-min.

Malah boleh dikatakan bahawa keterujaan itu turut dirasai bersama oleh seluruh peminat bola sepak tanah air yang mengikuti perlawanan tersebut secara langsung di seluruh pelosok negara.

Bagaimanapun, di sebalik sambutan kejayaan tersebut, terdapat pihak menimbulkan kegusaran mengenai tahap kualiti ulasan perlawanan yang ditampilkan stesyen TV tempatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Saya percaya mampu menyumbang buat negara — Romel Morales

Ia selepas pengulas dalam perlawanan terbabit disifatkan gagal mengawal emosi dengan baik dan bersikap keterlaluan.

Perkara itu dibangkitkan sendiri oleh bekas pengacara di stesen TV utama negara, Datuk Dahlan Maamor yang berkongsikan pandangannya berhubung kualiti ulasan dalam perlawanan terbabit.

"Jika terasa dan tersalah, maafkan saya andai teguran ini mengguris hati. Saya ikhlas mahu melihat anda, pengulas negara disegani, berwibawa Dan berjaya.

"Orang pencen seperti saya akan terus mengikuti dan adakalanya terusik menahan telinga kerana jeritan bingit pengulas bolasepak tanah air.

"Ya, saya faham anda sedang mewujudkan suasana gembira yang amat maksimum tapi jangan hingga memekik. Tidak perlu menjerit hingga hilang suara. Elok sekadar melontarkan rasa gembira dan bukannya menjerit keterlaluan,' katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

2511926

Skuad Harimau Malaya meraikan gol penyamaan yang dicetak oleh Romel Morales. — Facebook/FAM

BACA LAGI: Tak tahan malu seri dengan Malaysia, fans Korea Selatan mahu Kim Pan-gon ganti Jurgen Klinsman

Beliau berkata, sebagai pengulas perlawanan, mereka seharusnya memberi ruang kepada penonton untuk menikmati detik kegembiraan tersebut.

Jelasnya, seorang pengulas perlawanan juga tidak seharusnya lupa mengenai peranan sebenarnya ketika mengendalikan siaran langsung sesebuah perlawanan.

"Ya, semangat Malaysia itu harus sentiasa ada dan dipuji, namun jangan sampai hilang pertimbangan dan keterlaluan. Bertempik seperti mahu keluar anak tekak menjadikan anda sedang memuaskan hati anda sendiri dan bukan penonton.

"Tidak salah menjerit kegembiraan bila pasukan negara menjaringkan gol. Namun tidaklah sehingga kita terlupa ketika itu kita seorang pengulas.

"Jika selepas melontarkan ayat ayat gembira, mungkin anda boleh diam seketika dan biarkan penonton menyemarakkan detik itu atau berikan ruang rakan pengulas anda turut mencelah," ujarnya.

Dalam pada itu, Dahlan turut menasihatkan pengulas sukan di dalam negara supaya lebih banyak menimba ilmu bagi memastikan mereka dapat memberikan pengalaman terbaik buat penonton.

"Jangan segan berguru untuk memastikan anda dapat berdiri sebaris dengan pengulas hebat seperti Shaukie Kahar, Allahyarham Datuk Hasbullah, Zainal Rawop mahupun Datuk Rahim Razali," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram