Kurikulum baharu lahirkan generasi berdaya saing, lasak — Fadhlina


  • Primer
  • Isnin, 11 Dis 2023

Beberapa komponen penting dalam merangka kurikulum pendidikan baharu 2027.

KURIKULUM persekolahan 2027 akan menekankan aspek sahsiah, moral serta integriti untuk membangunkan generasi dengan gaya pemikiran berkembang.

Itulah perkara ditekankan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebagai tunjang kepada kurikulum persekolahan baharu bertujuan melahirkan pelajar yang mampu mendalami nilai murni daripada proses pembelajaran sepanjang hayat, menghargai unsur perpaduan berbilang kaum serta mampu mewujudkan hubungan baik dalam kalangan masyarakat.

Perubahan berkenaan, katanya, akan dibuat berpaksikan konsep jati diri dan memberi fokus terhadap kepentingan hidup bermasyarakat.

"Kami akan memastikan tiada siapa yang akan terkecuali dan tiada kanak-kanak yang akan ketinggalan.

"Kesemua kanak-kanak, termasuk mereka yang terdiri daripada golongan minoriti, tinggal di kawasan terpencil mahupun murid keperluan khas akan diberikan peluang sama-rata untuk merealisasikan harapan dalam menjadi seorang yang berhati murni," katanya.

Kurikulum persekolahan baharu ini akan dilancarkan secara berfasa dengan prasekolah akan mengaplikasikannya pada 2026 sementara pembelajaran Darjah Satu dan Tingkatan Satu akan menggunakannya pada 2027.

"Kurikulum perlulah bersifat fleksibel, relevan dan kontekstual bagi mencapai aspirasi budaya pembelajaran sepanjang hayat.

KUALA LUMPUR, 8 Dis -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berucap pada Program Santai Bersama Menteri Pendidikan sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Fadhlina menegaskan kurikulum baharu itu akan melibatkan kesemua murid.

"Murid perlu dilengkapkan dengan kompetensi yang bersesuaian untuk membangunkan generasi berdaya saing, mempunyai mentaliti bercambah serta berdaya tahan.

"Perubahan segera ini diperlukan untuk memastikan sistem pendidikan kita seragam dengan perubahan semasa dan masa depan di peringkat global," katanya.

Selain itu, kurikulum yang akan berkuat-kuasa tidak lama lagi ini juga menggabungkan polisi serta dasar di peringkat kebangsaan untuk mencerminkan aspirasi negara.

Fadhlina sempat memberikan contoh dengan memetik Dasar Kanak-Kanak Negara yang mahu melahirkan individu sihat, cergas, berpengetahuan, inovatif, kreatif, berjati diri serta bergerak ke hadapan dengan nilai-nilai murni.

Tegasnya, segala objektif yang ditetapkan ini bakal diterapkan dalam menghasilkan kurikulum baharu persekolahan itu.

"Dalam masa sama, Dasar Perpaduan Negara akan turut diambil kira kerana dasar ini merupakan 'payung' yang melakar usaha berterusan kerajaan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat," tambahnya sambil menegaskan bahawa Dasar Pendidikan Digital juga penting dalam pembangunan kurikulum pendidikan yang baharu itu.

"Dasar baharu tersebut bermatlamat melahirkan generasi yang fasih digital, meningkatkan daya saing dan pembangunan profesionalisme serta merapatkan jurang digital. Jadi, kurikulum baharu ini perlu dibangunkan berpaksikan kepada perkara penting ini," katanya.

WhatsApp Image 2023-12-09 at 15.15.22

Penggunaan alatan digital merupakan antara sasaran kurikulum baharu pendidikan.

Mendengar Suara Khalayak

Jelas Fadhlina, kurikulum baharu ini diwujudkan menerusi komunikasi berterusan dengan pihak berkepentingan hasil satu kaji selidik terhadap 61,000 responden terdiri daripada ibu bapa, para guru, pakar pendidikan dan orang ramai.

Kajian itu mendapati terdapat beberapa elemen baharu perlu diperkenalkan dalam kurikulum yang bakal diguna pakai itu, termasuk penekanan terhadap kesihatan fizikal dan mental, menambah baik pendidikan berkaitan kemahiran kendiri serta fokus terhadap isu kelestarian alam sekitar.

Responden turut berharap perubahan itu mampu memupuk semangat perpaduan, menanam nilai-nilai murni serta menyokong perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak.

Meskipun masing-masing menegaskan tentang kepelbagaian kepentingan murid-murid, penekanan terhadap pendidikan jasmani dan fizikal turut diharapkan tidak dipandang remeh.

330894

Pelbagai aspek pendidikan bakal diterapkan dalam kurikulum baharu ini.

Pembangunan Masa Depan

Fadhlina berkata, kerangka konsep kurikulum baharu ini akan dibangunkan dengan menggabungkan sistem pendidikan semasa dan kurikulum berorientasikan kompetensi yang diaplikasikan di Singapura, Finland, Perancis, Amerika Syarikat dan Kanada.

"Kurikulum dipraktikkan ketika ini bertujuan membantu murid-murid mencapai sasaran mereka dalam aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap berasaskan standard yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, kurikulum berasaskan kompetensi menggalakkan proses pembelajaran secara menyeluruh dan memberi peluang terhadap pelajar untuk mengaplikasikan ilmu, kemahiran dan sikap berdasarkan standard yang ditetapkan.

"Pendekatan ini akan menggalakkan pembelajaran aktif murid, menyediakan pengalaman pembelajaran dan penilaian yang lebih bermakna," katanya.

Kurikulum baharu itu juga akan menampilkan tujuh elemen utama yang ditekankan dalam konsep jati diri insaniah selari dengan enam tunjang dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) serta Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

"Penekanan terhadap pembelajaran dan proses pembentukan karakter ini akan menyentuh pelbagai disiplin ilmu, sesuai dengan setiap tahap pendidikan bermula dari prasekolah sehingga pendidikan sekolah menengah atas yang melibatkan murid Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima," katanya.

SPM holder students started off the day with the first subject examination at SMK Tasek Damai Ipoh with strict SOP.About 33,149 students taking the SPM examination in Perak.(2nd March 2022) — RONNIE CHIN/The Star (STANDALONEPIC)

Pelajar Tingkatan Empat dan Lima turut ditekankan dalam kurikulum pendidikan baharu.

Menekankan pembangunan karakter

Salah satu sasaran utama di sebalik kurikulum persekolahan 2027 adalah untuk membangunkan karakter pelajar setiap tahap persekolahan.

Tegas Fadhlina, pendidikan itu akan dipraktikkan daripada prasekolah sehingga Tingkatan Lima berdasarkan slot masa khusus berpaksikan kepada pembelajaran sosioemosi secara amali.

"Pembentukan karakter yang ditekankan adalah dibuat berdasarkan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Pendidikan ini bertujuan untuk membentuk individu yang mampu menyumbang kepada pembentukan negara yang sejahtera melalui kurikulum yang terancang dan berstruktur," katanya sambil menegaskan bahawa slot masa khusus akan diterapkan dalam jadual kelas bersepadu bermula di peringkat sekolah rendah.

Fadhlina ketika membentangkan Kurikulum sekolah kebangsaan 2027.

Fadhlina berkata kurikulum persekolahan 2027 akan menekankan aspek sahsiah, moral serta integriti.

"Pendidikan secara bersepadu merupakan satu kaedah pendidikan yang akan menggabungkan pelbagai kandungan serta kemahiran daripada mata pelajaran berbeza supaya membolehkan pelajar mengaplikasikan ilmu serta nilai-nilai murni dalam cara tersendiri," katanya.

Dalam masa sama, Fadhlina turut menegaskan bahawa penilaian dalam bilik darjah akan diperkenalkan untuk mengenal pasti kekuatan serta kelemahan pelajar dengan sasaran menambah baik kaedah pembelajaran, sekali gus menggalakkan penguasaan masing-masing secara menyeluruh.

Cara tersebut dilihat akan menjadikan proses pembelajaran lebih mudah difahami, lebih menarik dan bermakna untuk murid serta para guru.

"Sokongan untuk membangunkan dan melaksanakan kurikulum ini bagaimanapun hanya mampu membuahkan hasil sekiranya terdapat kerjasama kesemua pihak," katanya.

Memperkasakan 3M

Meskipun rata-rata daripada penduduk negara ini memiliki pengalaman cukup baik dari segi pembelajaran di rumah berbanding penduduk di negara lain, masih terdapat segelintir yang terkesan dengan impak Covid-19.

Skor diperolehi pelajar Malaysia serta beberapa negara lain dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 didapati merosot akibat pandemik berkenaan.

Jadi, menurut Fadhlina, kurikulum persekolahan baharu 2027 dijangka dapat menyelesaikan isu tersebut selain membantu murid menguasai asas membaca, menulis serta mengira (3M).

"Kegagalan untuk menguasai tiga kemahiran asas ini akan menghalang pelajar untuk menyedari kebolehan serta potensi masing-masing.

"Jadi, penyelesaian awal bakal diperkenalkan untuk membantu mereka yang menghadapi masalah tersebut sebelum berganjak ke tahap pendidikan lebih tinggi," katanya.

Di samping itu, Fadhlina menegaskan bahawa kurikulum baharu itu merupakan langkah pertama dalam mencetuskan anjakan paradigma untuk mencapai cita-cita negara dan masyarakat yang mahu membangunkan sebuah gaya pembelajaran holistik.

Kurikulum baharu tersebut turut disokong Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan yang berpendapat ia memberi fokus kepada ilmu pengetahuan diperlukan serta mempunyai nilai positif yang diperlukan murid-murid.

"Kurikulum baharu ini dibangunkan dengan melihat beberapa faktor penting, termasuk kaji selidik, merujuk negara-negara lain serta menggunakan penanda aras di peringkat antarabangsa, seperti PISA dan laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS).

KUALA LUMPUR, 20 Mac -- Gelagat murid-murid ketika hadir pada hari pertama bagi sesi persekolahan 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan Taman Tasik Ampang hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kurikulum persekolahan baharu 2027 dijangka dapat membantu murid menguasai asas 3M.

"Penilaian ini selari dengan perkembangan akademik yang menyumbang kepada usaha melahirkan kurikulum baharu dalam memastikannya kekal relevan untuk masa akan datang, dinamik serta sesuai dengan arus pembelajaran semasa dan akan datang," katanya.

Azman juga sempat membincangkan mengenai dapatan daripada kajian PISA terkini dengan menjelaskan 73 peratus daripada murid dalam negara berasakan kebolehan masing-masing untuk menggunakan alatan digital meningkat ketika penutupan sekolah.

Ia merupakan nilai lebih tinggi sebanyak 10 peratus berbanding skor purata Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD).

Meskipun markah PISA murid dalam subjek sains, matematik dan membaca menunjukkan penurunan, sokongan daripada guru dan pihak sekolah sememangnya tidak akan putus.

Jelas Azman, lebih daripada 60 peratus pelajar mengatakan guru di sekolah mudah untuk memberikan bantuan dan sedia dalam memberi bimbingan ketika sesi persekolahan diadakan secara atas talian.

Tambahnya, hanya 16 peratus daripada kaji selidik mendapati pelajar tidak diberikan bimbingan untuk sesi ulangkaji sementara 19 peratus mengadakan pihak sekolah menghiraukan kebajikan murid.

Selain itu, murid-murid juga beranggapan guru matematik lebih kerap memberikan dorongan dengan 80 peratus daripada mereka menjelaskan bahawa penjelasan akan diberikan sehingga penguasaan subjek tercapai.

Keyakinan masing-masing untuk belajar tanpa bimbingan juga didapati meningkat dengan hampir dua per tiga responden yakin dengan kebolehan tersendiri untuk menyelesaikan kerja rumah diberikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram