Sedekad Transformasi: PPPM 2013-2025 pamerkan pencapaian di tengah cabaran globalisasi


  • Primer
  • Ahad, 27 Ogos 2023

Fadhlina (tengah) ketika Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2022 PPPM 2013-2025 di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada Selasa.

SEPANJANG 10 tahun sejak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 diperkenalkan pada tahun 2013, pelbagai langkah dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha menambah baik proses gerak kerja.

Inisiatif yang terkandung dalam PPPM dipantau rapi oleh Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) dengan menetapkan sasaran indeks prestasi utama (KPI) yang tekal, melibatkan pengurusan tertinggi KPM secara langsung untuk menyemak prestasi pencapaian.

Namun tidak dapat dinafikan kementerian telah melalui satu perjalanan yang agak panjang dan berliku.

Apatah lagi, krisis global akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda Malaysia pada 2020 bukan sahaja memberi impak terhadap sektor ekonomi, malah turut menjejaskan pendidikan negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pada 1 April 2022, negara telah memasuki fasa peralihan endemik Covid-19 yang menyaksikan sektor pendidikan kembali beroperasi hampir seperti sedia kala secara berperingkat.

Menurutnya, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dikuatkuasakan sepanjang tempoh pandemik telah beralih kepada pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara bersemuka apabila sekolah kembali beroperasi seperti biasa.

"Di samping itu, Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) yang dibangunkan oleh KPM bagi memudahkan akses kepada pembelajaran semasa Covid-19 terus diperkukuh dalam meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah sebagai akses kepada pendidikan berkualiti.

"Inisiatif yang dijalankan menerusi PPPM menunjukkan pencapaian positif sejak hampir sedekat ia diperkenalkan," katanya ketika melancarkan Laporan Tahunan 2022 PPPM di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

KPM sentiasa memberikan perhatian dan mendukung dasar pendidikan yang telah ditetapkan kerajaan termasuk memastikan kejayaan lima aspirasi sistem pendidikan iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan yang terkandung dalam PPPM 2013-2025:

1. Akses

2

Sistem pendidikan di Malaysia berhasrat memastikan peningkatan enrolmen murid daripada peringkat prasekolah hingga menengah atas.

Setiap kanak-kanak warganegara Malaysia tanpa mengira status ekonomi, etnik atau latar belakang berhak mendapatkan akses yang sama bagi pendidikan berkualiti untuk membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing.

Sistem pendidikan di Malaysia berhasrat memastikan peningkatan enrolmen murid daripada peringkat prasekolah hingga menengah atas.

Sejak pelaksanaan PPPM 2013-2025, sistem pendidikan telah berjaya meningkatkan tahap akses pada peringkat pendidikan prasekolah hingga menengah atas.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2022 PPPM 2013-2025, kadar akses itu antaranya meningkat sehingga mencecah 98.3 peratus meliputi empat peringkat murid iaitu menengah atas, menengah rendah, rendah dan prasekolah.

Secara keseluruhan, analisis pencapaian enrolmen murid prasekolah bagi tahun 2022 menunjukkan kadar enrolmen bagi kohort umur lima tahun ke atas telah mencapai 88.81 peratus manakala bagi kohort umur empat tahun ke atas pula adalah 71.54 peratus.

Pencapaian itu didorong atas faktor keyakinan ibu bapa atau penjaga tentang keselamatan anak-anak mereka untuk mengikuti pendidikan prasekolah secara bersemuka setelah dua tahun penularan wabak Covid-19.

Pada tahun 2020, pencapaian peratus enrolmen menengah atas telah terjejas dan mengalami penurunan kepada 87.57 peratus disebabkan oleh wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Namun, KPM telah berjaya meningkatkan semula peratusan enrolmen menengah atas pada tahun 2021 iaitu 88.68 peratus dan mencapai peningkatan yang lebih baik pada 2022 iaitu kepada 89.97 peratus.

Enrolmen murid dalam program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah mencapai 6.38 peratus pada tahun 2022.

Enrolmen itu melibatkan 17,034 murid yang mengikuti program TVET di 86 kolej vokasional, 427 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di sekolah menengah pendidikan khas vokasional (SMPKV), 352 murid lepasan Tingkatan 3 yang terlibat dalam program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan 313 murid dalam program SLDN KV bersama-sama McDonald's Malaysia yang merupakan satu alternatif ke arah peluasan TVET KPM melalui kerjasama awam-swasta.

Selain itu, isu keciciran murid juga terus diberikan penekanan pada tahun lalu bagi memastikan semua anak Malaysia tidak ketinggalan dan mendapat kesaksamaan dalam pendidikan.

Impak pelaksanaan inisiatif yang telah dijalankan telah menyebabkan kadar keciciran murid sekolah menengah turut menunjukkan trend penurunan mulai 2018 hingga 2022. Pada 2018, kadar keciciran murid ialah 1.21 peratus berbanding 0.99 peratus pada 2022.

2. Kualiti

SPM holder students started off the day with the first subject examination at SMK Tasek Damai Ipoh with strict SOP.About 33,149 students taking the SPM examination in Perak.(2nd March 2022) — RONNIE CHIN/The Star (STANDALONEPIC)

Malaysia berjaya keluar daripada kelompok satu pertiga terbawah dalam penarafan sistem pendidikan di peringkat antarabangsa. — Gambar hiasan

KPM berhasrat untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara agar setara dengan pendidikan antarabangsa.

Kementerian juga prihatin dalam memastikan peluang pendidikan berkualiti bagi semua murid tanpa mengira tahap kebolehupayaan, latar belakang sosioekonomi dan jantina.

10 tahun lalu, Malaysia berada dalam kelompok satu pertiga terbawah dalam penarafan sistem pendidikan di peringkat antarabangsa melalui program Pentaksiran dan Kajian Perbandingan Antarabangsa (PISA).

Namun kini, hasil usaha serta kerjasama yang dijalinkan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah PPPM 2013-2025, Malaysia telah berjaya keluar daripada kelompok tersebut.

Dalam pada itu, Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) yang juga merupakan inisiatif di bawah PPPM 2013-2025 telah dilaksana sebagai program intervensi dalam memastikan murid dapat menguasai tahap penguasaan minimum literasi dan numerasi yang ditetapkan.

Pada tahun 2022, PLaN telah dilaksanakan di semua sekolah rendah di seluruh negara.

KPM kini meneruskan PLaN ke 392 buah sekolah yang mempunyai 30 peratus ke atas murid yang masih belum menguasai tahap penguasaan minimum Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

3. Ekuiti

WhatsApp Image 2023-08-22 at 20.46.06

Inisiatif Transformasi Pendidikan Orang Asli dan Peribumi bertujuan meningkatkan kesamarataan akses pendidikan berkualiti murid golongan itu. — Bernama

Pelaksanaan Program Transformasi Daerah (DTP) memberi tumpuan kepada pengupayaan dan kebertanggungjawaban Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam memacu prestasi sekolah.

Usaha itu adalah bagi membangunkan kepimpinan negeri, daerah dan sekolah agar mempunyai keupayaan dalam autonomi terpimpin, terutama dalam membuat keputusan berkenaan operasi harian dan melaksanakan intervensi khusus mengikut konteks lokaliti ke arah kecemerlangan.

Fokus utama DTP adalah untuk memastikan jurang pendidikan antara kumpulan bandar dan luar bandar, status sosioekonomi dan jantina dapat dirapatkan khususnya di setiap negeri.

Berdasarkan sumber data daripada Lembaga Peperiksaan, jurang pencapaian gred purata SPM 2022 di bandar dan luar bandar merapat sebanyak 29.51 peratus dari tahun 2012.

Sementara itu, inisiatif Transformasi Pendidikan Orang Asli dan Peribumi dalam pelan itu juga bertujuan meningkatkan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti murid Orang Asli dan Peribumi.

4. Perpaduan

perpaduan

Indeks perpaduan telah menunjukkan peningkatan yang boleh boleh dibanggakan. — Bernama

Inisiatif Perpaduan bertujuan memastikan semua murid yang mengikuti sistem persekolahan formal dapat menerima, menghormati dan menghargai kepelbagaian yang wujud di Malaysia dari segi latar belakang sosioekonomi, agama, bahasa dan etnik.

Alam persekolahan memberi peluang kepada semua murid berkongsi pengalaman dalam kepelbagaian demi membentuk dan memperkukuh asas perpaduan rakyat Malaysia.

Setelah lapan tahun kajian pengukuran dilaksanakan di sekolah KPM, indeks perpaduan telah menunjukkan peningkatan yang boleh dibanggakan.

Pencapaian indeks perpaduan dalam pendidikan meningkat kepada 7.1 pada tahun 2022 berbanding 6.8 pada tahun 2014.

Bagaimanapun, masih terdapat jurang yang boleh ditingkatkan di sekolah terutamanya yang melibatkan negeri yang homogen seperti Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis dan Kedah yang mempunyai indeks perpaduan yang masih rendah.

Namun hal ini berkemungkinan kerana kurangnya pendedahan meluas dalam rutin harian masyarakat pelbagai kaum.

Berdasarkan dapatan tersebut, tumpuan utama KPM pada tahun ini adalah untuk meningkatkan indeks dalam kalangan murid di negeri-negeri tersebut.

5. Kecekapan

F4BLUfVakAAS1S8

Sekolah Kebangsaan Nangga Klasen di Sri Aman, Sarawak antara sekolah daif yang dibaiki oleh KPM.

Sepanjang pelaksanaan PPPM 2013-2025, sebanyak 644 daripada 879 sekolah daif telah selesai dinaik taraf sehingga 2022.

Kementerian juga telah menyediakan kertas cadangan Kaedah Pembiayaan Baharu bagi Bantuan Persekolahan Umum untuk sekolah di bawah KPM dalam meningkatkan keberhasilan murid melalui pengurusan kewangan yang lebih strategik dan efisien.

Kaedah pembiayaan baharu dicadangkan supaya sekolah yang terpinggir dari segi kewangan mendapat peruntukan tambahan berdasarkan faktor lokasi sekolah, latar belakang sosioekonomi dan enrolmen selain peruntukan bantuan persekolahan umum sedia ada.

Kertas cadangan itu telah mendapat kelulusan KPM dan seterusnya diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram