Insentif caruman tambahan KWSP dedah jutaan pencarum miliki kurang RM10,000, ramai pertimbang Pencen Insurans Sosial


  • Massa
  • Rabu, 10 Jan 2024

KWSP berkata, pemberian insentif caruman tambahan itu dilakukan bertujuan menggalakkan pencarum yang mempunyai simpanan rendah dan menghampiri umur persaraan untuk terus menyimpan dan mempercepatkan pengumpulan simpanan persaraan mereka. — Gambar hiasan

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Rabu mengumumkan bahawa seramai kira-kira 1.4 juta pencarum menerima dana caruman tambahan bernilai RM500 di akaun masing-masing.

Inisiatif dinamakan sebagai Insentif Caruman Tambahan Kerajaan itu melibatkan ahlinya yang berusia 40 tahun hingga bawah 55 tahun dengan simpanan KWSP berjumlah RM10,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 masing-masing setakat 24 Februari 2023.

Dalam kenyataannya, KWSP berkata, langkah tersebut dilakukan bertujuan bagi menggalakkan pencarum yang mempunyai simpanan rendah dan menghampiri umur persaraan untuk terus menyimpan dan mempercepatkan pengumpulan simpanan persaraan mereka.

Ujarnya, pelaksanaan insentif sekali bayar itu membabitkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM708 juta.

Di sebalik berita baik diumumkan pada Rabu itu, terdapat pihak yang menimbulkan kerisauan berhubung jumlah pencarum yang terlibat dalam insentif tersebut.

Ini kerana menurutnya, jumlah simpanan RM10,000 yang dimiliki itu dilihat sangat jauh dengan sasaran simpanan persaraan yang disarankan bagi mereka berusia 55 tahun iaitu RM240,000.

"Angka 1.4 juta pekerja dengan jumlah simpanan kurang RM10,000 untuk persaraan adalah agak membimbangkan," tulis KhairulAqmal.

Untuk rekod, masalah ketidakcukupan wang simpanan persaraan dalam kalangan rakyat Malaysia bukanlah satu isu baharu.

BACA LAGI: 'Hanya tinggal RM42 sebulan', 6.3 juta ahli KWSP bawah 55 tahun miliki baki simpanan kurang RM10,000

EPF found that 90% of Malaysians will reach the retirement age of 60 and at least 50% will live till 80 years old. However, figures show only 3% of Malaysians would have enough in their EPF account to retire. – LOW BOON TAT/The Star

Setakat Disember 2022, 81 peratus daripada keseluruhan pencarum KWSP tidak mempunyai wang persaraan yang mencukupi. — Gambar hiasan

Malah, ia sudah dibincangkan sejak tempoh beberapa tahun lalu.

Hal tersebut menjadi lebih meruncing susulan keputusan kerajaan yang membenarkan pencarum bagi mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka ketika tempoh pandemik Covid-19.

Walaupun langkah berkenaan dilihat perlu khususnya dalam membantu meringankan beban rakyat pada ketika itu, ia secara langsung turut menyebabkan penyusutan begitu ketara terhadap simpanan persaraan rakyat Malaysia.

Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan setakat Disember 2022, 81 peratus daripada keseluruhan pencarum KWSP tidak mempunyai simpanan wang persaraan yang mencukupi.

Ia selepas hanya 19 peratus daripada pencarum dilaporkan berjaya mencapai tahap simpanan asas umur bagi membolehkan mereka mempunyai simpanan RM240,000 pada usia 55 tahun.

BACA LAGI: Akaun Fleksibel KWSP bakal diperkenal, pencarum boleh akses dana bila-bila masa

Menurut Anwar, situasi tahap ketidakcukupan jumlah simpanan persaraan yang serius itu bakal menyebabkan kumpulan tersebut akan bersara di bawah paras kemiskinan.

Melihatkan kepada perkembangan tersebut, ia tentunya akan menimbulkan kerisauan dalam kalangan sebahagian besar rakyat Malaysia terhadap masa depan perlindungan sosial mereka.

Ini kerana, bantuan insentif sekali bayar seperti yang diumumkan pada Rabu itu dilihat belum benar-benar mencukupi sepenuhnya untuk menangani isu berkenaan.

Pendekatan sistem perlindungan baharu

Disebabkan itu, kerajaan dilihat perlu melihat kepada alternatif selain dan tidak hanya menumpukan kepada skim simpanan persaraan seperti KWSP dalam penyediaan perlindungan sosial pada masa depan.

Untuk rekod, Khazanah Research Institute (KRI) pada September 2021 pernah mengetengahkan cadangan pendekatan sistem perlindungan sosial yang baharu.

Sistem perlindungan yang menggunakan pendekatan kitaran hidup bermula daripada janin hingga akhir hayat.

Pendekatan tersebut sama sekali berbeza dengan sistem perlindungan sedia ada ketika ini yang memberi tumpuan semata-mata kepada pendapatan dan usia rakyat.

Malaysia is expected to be a 'super-aged' nation by 2056. — 123rf.com

Skim Pencen Insurans Sosial akan memastikan seseorang individu menerima pencen sepanjang hayat sebaik dirinya mencecah usia tua. — Gambar hiasan

Di bawah pendekatan disarankan itu, ia antara lain turut meliputi perlindungan terhadap mereka yang berada dalam usia persaraan.

Dalam cadangan dikemukakan melalui laporan bertajuk 'Menongkah Badai Ke Arah Keterangkuman Perlindungan Sosial di Malaysia' tersebut, KRI menyarankan kerajaan melaksanakan skim Pencen Insurans Sosial.

Secara mudahnya, skim berkenaan akan memastikan seseorang individu menerima pencen sepanjang hayat sebaik dirinya mencecah usia tua.

Bagi pelaksanaannya, ia akan menggunakan dana yang dibina secara kolektif daripada sumbangan semua penduduk sepanjang usia bekerja dan bukan dikumpul secara akaun individu.

Bagaimanapun, selepas hampir dua tahun dibentangkan, kerajaan ketika ini masih belum memberikan sebarang respons terhadap cadangan tersebut.

Timbalan Menteri Kewangan I, begitupun memberi bayangan bahawa kerajaan ketika ini sedang berusaha bagi melaksanakan pembaharuan terhadap perlindungan sosial di dalam negara.

Turut disentuh dalam kenyataan tersebut adalah mengenai inisiatif kerajaan bagi menggubal dasar sistem perlindungan sosial termasuk melalui pendekatan kitaran hayat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram