Kerajaan belanja berbilion tanggung pencen MP? 4 fakta perlu diketahui tentang cadangan pemansuhan pencen wakil rakyat


  • Politik
  • Jumaat, 29 Sep 2023

Untuk mendapat kelayakan menerima pencen, seseorang ahli Parlimen perlu memiliki tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 36 bulan. — Gambar hiasan

SEJAK minggu lalu, isu pemansuhan pencen kepada ahli Parlimen kembali menjadi topik hangat yang diperbincangkan dalam arena politik negara.

Antara yang terawal menimbulkan keperluan langkah tersebut ialah pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid.

Dalam hujahnya berkenaan isu terbabit, beliau yang juga bekas penasihat ekonomi perdana menteri berkata, ahli Parlimen patut 'diajar' untuk merasai kesempitan hidup oleh orang kebanyakan.

Bagi melaksanakan tujuan tersebut, Muhammed memberikan cadangan agar skim pencen yang dinikmati wakil rakyat ketika ini ditukarkan kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Gesaan tersebut ternyata mendapat reaksi positif daripada beberapa ahli politik antaranya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dalam kenyataannya mengenai perkara itu, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendakwa terdapat ahli politik yang sudah mendapat jumlah pencen berkali ganda lebih tinggi berbanding penjawat awam lain.

Katanya, ia termasuk menerusi pelbagai jawatan dipegang termasuk yang diterima sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sementara itu, bagi Khairy pula berkata, langkah pemansuhan pencen membabitkan ahli Parlimen itu dilihat tepat pada masanya untuk dilakukan pada secepat mungkin pada waktu.

Jelas beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan, skim pencen yang dilaksanakan ketika ini sudah tidak lagi relevan dan pemansuhan itu perlu meliputi penjawat awam.

KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media selepas menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.--fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Malah katanya, cadangan itu merupakan antara langkah wajar perlu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan fiskal selain melakukan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi.

Berikut Majoriti senaraikan empat perkara yang perlu diketahui berkaitan pencen ahli Parlimen:

1. Syarat kelayakan dan jumlah pencen diterima ahli Parlimen

Secara asasnya, skim pencen dinikmati penjawat awam membabitkan pemberian pencen bulanan yang ditetapkan dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan dan gaji terakhirnya.

Untuk mendapat kelayakan menerima pencen, seseorang ahli Parlimen perlu memiliki tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 36 bulan.

Dalam pada itu, daripada segi jumlah pencen diterima pula, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237) menyatakan mereka layak menerima tiga per lima atau 60 peratus daripada gaji mereka.

Sekiranya mereka mendapat gaji terakhir sebanyak RM16,000, ini bermakna jumlah pencen yang akan diperolehi adalah RM9,600 sebulan.

Bagaimanapun, struktur skim tersebut berbeza bagi perjawatan lain seperti senator, Adun, Exco kerajaan negeri, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, timbalan menteri dan perdana menteri.

2. Jumlah pendapatan sebenar ahli Parlimen

Bagi jumlah pendapatan sebenar yang diterima ahli Parlimen, ia adalah berbeza bergantung kepada jawatan dipegang dalam kerajaan.

Berdasarkan kepada Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, elaun saraan bulanan bagi ahli Parlimen secara asasnya adalah berjumlah RM16,000.

KUCHING, 16 Sept -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (enam, kanan) bersama  barisan Jemaah Menteri pada Mesyuarat Kabinet di Wisma Bapa Malaysia hari ini.Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (enam, kiri) serta Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof (lima, kanan).-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pendapatan sebenar yang diterima ahli Parlimen, ia adalah berbeza bergantung kepada jawatan dipegang dalam kerajaan. — Gambar hiasan

Selain itu, mereka juga mendapat sekurang-kurang 12 bentuk elaun antaranya kediaman rasmi (RM4,800), selenggara rumah (RM10,000 setahun), elaun pembantu rumah (RM2,500) dan elaun telefon (RM900).

Dalam pada itu, bagi ahli Parlimen yang menjawat jawatan dalam anggota, Akta sama menetapkan perdana menteri akan menerima gaji RM22,826.65 sebulan, sementara timbalan perdana menteri menerima RM18,168.15,

Menurut Akta 237, perdana menteri menerima gaji tambahan selain yang diterima sebagai ahli Parlimen sebanyak RM22,826.65 sebulan, manakala timbalan perdana menteri menerima RM18,168.15.

Ahli Parlimen yang menjadi menteri pula akan menerima gaji bulanan tambahan sebanyak RM14,907 sementara timbalan menteri (RM10,847)

3. Berapa kerajaan tanggung untuk tampung pencen wakil rakyat?

Pada Jun lalu, seorang pengamal undang-undang, Datuk Khairul Rahmat mendakwa kerajaan membelanjakan sejumlah RM2 bilion setahun untuk pembayaran pencen bekash ahli Parlimen dan anggota Kabinet.

Menurut Khairul, maklumat dalaman itu didedahkan kepadanya oleh sumber yang beliau gelar sebagai 'blue bird'.

Jelasi beliau, wang ditanggung kerajaan itu masih belum termasuk jika seseorang ahli politik tersebut pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, Exco atau Menteri Besar.

Bagaimanapun, tiada mana-mana kenyataan rasmi yang dikeluarkan daripada pihak kerajaan untuk mengesah atau menafikan dakwaan jumlah tersebut.

Dalam pada itu, pada 5 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan dianggarkan membelanjakan RM31 bilion setiap tahun bagi membayar pencen kira-kira 900,000 pesara.

4. Apa alasan kumpulan menolak cadangan tersebut

Dalam pada itu, cadangan pemansuhan pencen itu juga dilihat tidak mendapat respons yang begitu positif dalam kalangan sesetengah ahli Parlimen.

Perkara itu dilaporkan oleh portal Malaysiakini yang menemu bual kira-kira 26 daripada 222 ahli Parlimen dari kedua-dua blok iaitu pembangkang dan kerajaan.

Menurut laporan tersebut, ketidaksetujuan terhadap perkara itu antar lain kerana mereka berpandangan ahli parlimen juga berkhidmat sama seperti penjawat awam yang lain dan wajar mendapat pencen.

KUALA LUMPUR, 3 Okt –– Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) merangkap Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika sidang media pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam pada itu, ada juga antara mereka beranggapan langkah itu tidak wajar dilaksanakan kerana jawatan ahli Parlimen bukanlah pekerjaan tetap dan berterusan.

Bagaimanapun, antara mereka berpendapat bahawa pengecualian pencen itu mungkin boleh dibuat kepada mereka yang mempunyai lebih daripada satu skim pencen selepas menyandangan beberapa jawatan.

Pada masa sama, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan media tempatan berkata, kerajaan tidak boleh melaksanakan cadangan pemansuhan pencen secara menyeluruh dan drastik untuk ahli Parlimen serta penjawat awam,

Ini kerana ia memberi implikasi besar terhadap sosioekonomi dan politik.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipinda bagi merealisasikan cadangan berkenaan.

Beliau juga berpandangan bahawa pencen ahli Parlimen sedia ada sebenarnya tidak membebankan kewangan kerajaan kerana jumlahnya sangat kecil berbanding segmen perkhidmatan awam lain.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan wajar mempertimbang mengikut kemampuan penerima pencen memandangkan ada yang hanya bergantung kepada pencen sebagai simpanan apabila tamat perkhidmatan.

Jelasnya, perkara itu sekiranya mahu dilaksanakan juga perlu dilakukan secara berperingkat dan bukannya secara drastik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram