BEKAS pemain bola sepak Kedah era 90-an, Abdul Rahman Tasu berdepan ujian berat apabila tidak mampu berjalan dan bercakap selepas serangan strok pada September lepas.
Abdul Rahman, 60, masih mampu berjalan dan bercakap selepas mula mengalami serangan strok kira-kira lapan tahun lepas, namun kesihatannya semakin merosot apabila diserang strok kali keempat beberapa bulan lalu.
Isterinya, Asmanida Ismail, 45, berkata, sebelum serangan strok kali keempat itu, suaminya masih boleh berjalan menggunakan tongkat serta mampu bercakap walaupun pertuturannya tidak jelas dan tidak lancar.
"Saya terpaksa berhenti kerja sebagai tukang masak kerana perlu menjaga dan menguruskan suami berikutan dia tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri... saya yang akan angkat dia ke bilik air, pakaikan lampin pakai buang dan suapkan makan dan minumnya.
"Semua urusan memang saya perlu lakukan sendiri kerana kami tinggal berdua di rumah sewa dan tidak dikurniakan cahaya mata walaupun sudah berkahwin selama 15 tahun,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Pekan Langgar, Kedah pada Khamis.
Rahman Tasu ketika masih beraksi bersama Kedah FA sekitar tahun 90-an. — Facebook/Lagenda Bola Sepak
Asmanida berkata, Abdul Rahman pada masa ini hilang selera makan dan hanya mahu menjamah bubur nasi kosong sejak beberapa hari lepas.
"Suami masih faham bila dengar orang bercakap cuma dia tidak boleh bercakap, jadi untuk berkomunikasi dia akan mengangguk kepala atau guna isyarat tangan jika hendak balas soalan yang ditanyakan,” katanya.
Menurut Asmanida, selain berdepan masalah kesihatan, mereka turut dihimpit masalah kewangan dan hanya bergantung kepada wang pencen suaminya berjumlah kira-kira RM1,500 sebulan.
"Sumber kewangan memang bergantung sepenuhnya kepada pencen suami yang sebelum ini bekerja sebagai kerani di Wisma Darul Aman... macam-macam perlu dibayar termasuk sewa rumah, bil elektrik dan air, (membeli) lampin pakai buang serta perubatan alternatif untuk suami.
"Ubat-ubatannya memang dapat percuma daripada hospital tetapi kami juga cuba rawatan alternatif kerana nampak ada sedikit perubahan padanya, jadi untuk rawatan berkenaan memerlukan sedikit wang,” katanya menambah suaminya akan sedih apabila diajak bersembang mengenai bola sepak serta rakan sepasukannya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman ketika ditanya sama ada masih mengingati rakan seperjuangan termasuk Muhamad Radhi Mat Din, hanya mengangguk dan menitiskan air mata.
Abdul Rahman merupakan seorang daripada pemain Kedah yang berjaya membantu menjulang Piala Malaysia pertama pada 1990 selepas menang 3-1 menentang Singapura dan merupakan juara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) edisi pertama pada 1986. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram