Syed Saddiq setuju cadangan hapus pencen ahli politik


  • Politik
  • Rabu, 20 Sep 2023

Syed Saddiq bersetuju cadangan hapus pencen ahli politik supaya merasai kekangan kewangan seperti yang dihadapi oleh rakyat biasa.

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersetuju dengan cadangan pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid supaya memansuhkan pencen untuk semua menteri dan ahli Parlimen serta dimasukkan ke skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti rakyat biasa.

Syed Saddiq berkata, cadangan itu wajar dilaksanakan supaya ahli politik merasai kekangan kewangan seperti yang dihadapi oleh rakyat biasa.

“100 peratus setuju dengan cadangan tiada pencen untuk ahli politik. Termasuk saya.

“Sekarang ini pencen ahli politik lagi berganda daripada penjawat awam yang berkhidmat puluhan tahun.

"Ahli politik masuk pejabat, terus dapat pencen seumur hidup,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.

Pada Rabu, media melaporkan Muhammed berpendapat semua menteri dah ahli Parlimen patut diajar untuk merasai kesempitan hidup seperti dilalui orang kebanyakan dengan membatalkan pencen mereka dan mencadangkan ia dimasukkan ke skim caruman KWSP seperti orang lain.

Sementara itu, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata, ahli politik yang menjadi menteri, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut mendapat pencen berganda kerana ada dalam kalangan mereka diberikan pelbagai jawatan dalam badan kerajaan.

“Pencen yang bertingkat-tingkat pula. Menteri, ahli Parlimen, ADUN macam-macam jawatan.

“Wajar cadangan letak di bawah KWSP, sama seperti rakyat biasa,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram