Tayar depan pesawat ringan tercabut ketika mendarat di Melaka


  • 112
  • Rabu, 24 Jan 2024

KEJADIAN pada 3.07 petang di LTAM itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap mana-mana individu terbabit. — Gambar hiasan

TAYAR depan sebuah pesawat latihan ringan jenis Piper PA-28-181 dilaporkan tercabut selepas dipercayai gagal mendarat dengan baik di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Melaka dalam insiden pada petang Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, kejadian pada 3.07 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap mana-mana individu terbabit.

"Pesawat latihan dengan nombor pendaftaran 9M-ITX yang dikendalikan oleh International Aero Training Academy (IATAC) itu dipercayai gagal mendarat dengan baik hingga menyebabkan tayar hadapannya tertanggal.

"Insiden ini melibatkan seorang juruterbang pelatih dan beliau dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: CAAM semak semula peraturan penyewaan pesawat pendaftaran asing

1874603

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud.

BACA LAGI: [VIDEO] Susulan jawapan menteri lepas kontroversi pintu pesawat tercabut, ramai percaya 'Made In Malaysia' tetap berkualiti

Beliau berkata, pesawat ringan tersebut sudah dialihkan dari landasan pada pukul 3.35 petang dan dibawa ke hangar berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

Norazman berkata, lapangan terbang itu kembali beroperasi pada 4.12 petang selepas semua pemeriksaan keselamatan selesai dilakukan.

"Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram