CAAM semak semula peraturan penyewaan pesawat pendaftaran asing


  • Primer
  • Sabtu, 13 Jan 2024

TINDAKAN semakan terhadap Peraturan 147, Peraturan Penerbangan Awam (CAR) 2016 itu dilakukan susulan tragedi pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos 2023.

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kini sedang menjalankan kajian semula terhadap peraturan bagi tidak membenarkan penyewaan pesawat berpendaftaran asing di dalam negara.

Menerusi satu surat bertarikh 10 Januari 2024 kepada pemilik dan pengendali pesawat, CAAM turut memaklumkan bahawa pemeriksaan ke atas pesawat berpendaftaran asing bakal dilaksanakan bagi memastikan ia mematuhi peraturan tempatan.

Ujar surat tersebut, tindakan semakan terhadap Peraturan 147, Peraturan Penerbangan Awam (CAR) 2016 itu dilakukan susulan tragedi pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos 2023 membabitkan jet peribadi, Hawker Beechcraft 390 Premier 1 yang berdaftar di Amerika Syarikat (AS).

BACA LAGI: Lokasi hampir sama, tragedi Elmina seperti 'ulangan' insiden tragis pesawat JAL 715

Nahas tersebut mengorbankan kesemua 10 individu yang berada di atas pesawat terbabit termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Dalam pada itu, CAAM memaklumkan bahawa semakan Peraturan 147 adalah bertujuan bagi menangani risiko keselamatan dengan memastikan pemantauan lebih berkesan.

Jelasnya, ia termasuk pengenalan beberapa peruntukan lain untuk memberi pilihan kepada pihak industri dan berkepentingan bagi operasi mereka.

"Semakan CAR 2016 tidak hanya akan memberi kesan kepada (pesawat) asing yang berdaftar tetapi juga pesawat tempatan yang berdaftar bawah penerbangan am," ujar surat tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Pesawat terhempas di Elmina tak sempat buat 'mayday call'

CAAM berkata, pihaknya juga akan melakukan lebih banyak pemeriksaan luar biasa di landasan kapal terbang dan pengawasan di lapangan terbang yang lazimnya menempatkan pesawat berdaftar asing sementara menunggu peraturan dipinda itu berkuat kuasa sepenuhnya

"Ia bertujuan memastikan pesawat memiliki pendaftaran asing, terikat dengan keperluan dan keupayaan pengawasan CAAM," ujarnya yang turut menyatakan bahawa tempoh 'buffer' tersebut akan berakhir pada 26 Julai 202.

Pada waktu ini, Peraturan 147 CAR 2016 menetapkan pemilik atau pentadbir pesawat berdaftar di negara asing yang digunakan dalam sebarang operasi penerbangan am di Malaysia boleh beroperasi bagi tempoh maksimum enam bulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram