Kes gagal isytihar harta babit ahli politik, isteri bekas PM pernah gemparkan negara


  • Massa
  • Rabu, 24 Jan 2024

SPRM bertindak menyiasat mana-mana anggota pentadbiran kerajaan yang tidak mengisytiharkan harta masing-masing termasuk sumber pendapatan daripada derma, wasiat dan pusaka. — Gambar hiasan

PADA Selasa, isteri ahli perniagaan terkenal, Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Naimah Khalid dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Naimah ketika bercakap kepada pemberita, menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan seperti yang didakwa, dan akan membuktikannya di dalam prosiding mahkamah.

Beliau malah mendakwa, dakwaan yang dikenakan terhadap dirinya, suami dan keluarganya itu, adalah satu langkah bersifat dendam kepada mereka.

BACA LAGI : Siasatan SPRM: Isteri dakwa Tun Daim dianiaya kerana kaya-raya

2483454

Naimah didakwa gagal mengisytiharkan hartanya.

Sebelum ini, Naimah dikatakan telah hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan sekali gus membantu siasatan terhadap suaminya berhubung pengubahan wang haram yang disyaki melibatkan Daim.

Namun, selain daripada Naimah, terdapat empat individu terkait dalam dunia politik yang pernah disiasat dan didakwa atas kesalahan sama.

BACA LAGI : Isteri, 2 anak Tun Daim dipanggil beri keterangan di SPRM pada Rabu

1. Mirzan Mahathir

2503972

Mirzan tidak terlepas daripada dikaitkan dalam kes pengubahan wang haram.

Pada 18 Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, Mirzan Mahathir disiasat berhubung pengisytiharan harta.

SPRM ketika itu dilaporkan sudah menyerahkan perintah notis kepada Mirzan untuk dia mengisytiharkan semua asetnya dalam tempoh 30 hari berhubung maklumat dalam Kertas Panama.

Perintah tersebut juga merupakan tindakan lanjut daripada siasatan SPRM berhubung aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Siasatan itu dilaporkan telah dijalankan mengikut Seksyen 36(1) (b) Akta SPRM 2009.

Perkara itu nampaknya mendatangkan kebimbangan dan kegusaran buat Mahathir sebagai seorang bapa.

Tidak lama selepas berita tersebut tersebar, Mahathir dilaporkan mendakwa bahawa siasatan yang dijalankan terhadap Mirzan dilakukan untuk mencari bukti berhubung kesalahan terdahulunya ketika bergelar Perdana Menteri.

Dakwanya, tindakan itu juga dilakukan bagi membenarkan pendakwaan dapat dijalankan terhadap dirinya.

Bukan itu sahaja, Mahathir turut mendakwa, siasatan tersebut sengaja dilakukan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal membuktikan beliau membolot harta untuk kepentingan diri ketika menjadi Perdana Menteri sejak 1981 lagi.

2. Datin Seri Rosmah Mansor

1964139

Rosmah antara yang tidak terkecuali dalam kes tersebut.

Nama Datin Seri Rosmah Mansor sememangnya menjadi perbualan hangat seluruh rakyat Malaysia kerana didakwa terlibat dalam beberapa kes rasuah sejak 2016 lagi.

Menurut garis masa kes yang dinyatakan dalam laman sesawang rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosmah disiasat pernah meminta dan menerima rasuah melibatkan Pengarah Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin sekitar 2016 hingga 2017.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu kemudiannya dilaporkan disiasat SPRM berhubung kes penyelewengan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di sekolah-sekolah di Sarawak pada 2018.

Di samping itu, Rosmah juga pernah dikaitkan dengan 12 tuduhan melibatkan kegiatan pengubahan wang haram sebanyak kira-kira RM7 juta bersama lima tuduhan gagal mengisytiharkan aset kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara tahun 2013 dan 2018.

3. Rafizi Ramli

1531822

Rafizi pernah disiasat kerana timbulnya isu berkenaan jumlah harta yang diisytiharkannya.

Selain itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli antara ahli politik yang pernah disiasat SPRM berhubung kes sama pada 2022.

Pada 2015, Rafizi pernah mengumumkan bahawa bersedia untuk membuat pengisytiharan harta selepas menyahut seruan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee (Ketua Umno Bahagian Cheras ketika itu) berkenaan gaya hidup sederhana ahli politik.

Daripada harta dan hutang yang diisytiharkan pada 2015, kedudukan harta melebihi hutang Rafizi yang ketika itu merupakan Setiausaha Agung PKR berjumlah RM1.56 juta.

Pada 2 November 2022, Rafizi sekali lagi mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta susulan syarat PKR agar calon bertanding di bawah parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berbuat demikian.

Namun, beberapa hari kemudian, timbul beberapa dakwaan tidak enak menyatakan bahawa terdapat kesangsian berkenaan jumlah harta yang diisytiharkan hingga ramai mahu Timbalan Presiden PKR itu disiasat lebih lanjut.

Satu laporan berkenaan dakwaan tersebut dikatakan dilakukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada SPRM.

Disebabkan itu, pada 10 November 2022, SPRM dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta dilakukan Rafizi.

Bukan itu sahaja, SPRM turut bertindak menyerbu dan membuat rampasan di syarikat miliknya iaitu Invoke Solutions Sdn. Bhd selama dua hari berturut-turut bagi menjalankan siasatan.

Begitupun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tiada serbuan yang dibuat sebaliknya ia hanya siasatan biasa malah tiada kakitangan Invoke yang ditahan dalam siasatan berkenaan.

4. Datuk Seri Shafie Apdal

1319571

Shafie Apdal turut tidak terlepas disiasat berhubung isu sama.

Selain tiga nama yang sering diperkatakan dalam media, Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal antara yang tidak ketinggalan disiasat SPRM berhubung kes pengubahan wang haram.

Pada 2018, Shafie yang ketika itu Ketua Menteri Sabah dilaporkan antara 13 Ahli Parlimen yang belum membuat pengisytiharan harta kepada SPRM.

Shafie berkata, beliau akan mengisytiharkan hartanya kepada SPRM sekali lagi walaupun pernah berbuat demikian semasa beliau ditahan agensi antirasuah itu pada 2017.

Semasa penahanan reman itu, siasatan berkaitan penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion di Sabah antara 2009 hingga 2015 (semasa bergelar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) sebelum dipanggil sekali lagi berhubung kes lain iaitu siasatan kontrak penyelenggaraan universiti di Sabah.

Shafie bagaimanapun dilaporkan bersih daripada kes salah guna RM1.5 bilion itu memandangkan tiada bukti mencukupi untuk mendakwa Ahli Parlimen Semporna itu, menurut Pejabat Peguam Negara.

Sementara itu, pada 2019, Shafie dilaporkan telah mengisytiharkan harta dengan aset beliau ketika itu berjumlah RM6.63 juta, sekali gus membuatkan beliau menduduki tangga ke-23 ahli parlimen kerajaan yang memiliki aset paling banyak.

Portal pengisytiharan harta SPRM ketika ini sudah tidak boleh diakses oleh orang awam kerana ditutup buat sementara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram