PROGRAM subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (Sara) berjumlah RM700 juta diagihkan secara berperingkat mulai Isnin dengan pelbagai penambahbaikan, termasuk diperluaskan kepada 210,000 penerima.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan bagi program subsidi bersasar itu bertambah lima kali ganda berbanding peruntukan tahun lalu dengan jumlah terkini RM700 juta berbanding RM130 juta tahun lalu.
"Alhamdulillah, sukacita saya maklum program subsidi bersasar Sara akan kembali bermula Isnin secara berperingkat.
"Selain itu, program Sara sudah ditambahbaik dengan peruntukan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM700 juta, ketimbang perbelanjaan RM130 juta pada tahun lalu.
"Peruntukan lebih besar ini membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima Sara kepada 700,000, ketimbang 210,000 pada tahun lalu," katanya pada hantaran di Facebook pada Isnin.
BACA LAGI: [VIDEO] Didakwa angkara perbuatan khianat, wanita rugi puluhan ribu kereta hangus terbakar
BACA LAGI : Kecewa Rumawip terbengkalai, pengguna tuntut undang-undang lindungi hak pengguna digubal
Pelaksanaan Sara akan bermula Isnin bagi penerima dari Semenanjung, manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari Sabah, Sarawak dan Labuan akan bermula 19 Februari ini.
Bagi penerima program Sara di Semenanjung, bantuan Sara akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk bujang.
Bantuan Sara kepada penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari dan 12 Ogos melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.
Selain itu, penggunaan kredit program Sara akan diperluaskan kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
Anwar berkata, jumlah bantuan juga dinaikkan sehingga RM1,200, iaitu kenaikan sekali ganda daripada tahun lalu.
"Nilai bantuan yang dipertingkatkan ini sebagai transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat.
"Penambahbaikan program Sara ini, satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi Madani.
"Insya-ALLAH, kerajaan akan mengumumkan lebih banyak penambahbaikan kepada bantuan-bantuan lain bagi mengangkat ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram