Mangsa isu rumah terbengkalai? Take note langkah penting jika anda sebagai pembeli berdepan 'projek sakit'


  • Bizz
  • Isnin, 22 Jan 2024

Projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip), Residensi Hektar Gombak, Kuala Lumpur antara projek perumahan yang terbengkalai sejak empat tahun lalu.

HAMPIR semua orang mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga. Hal ini kerana, rumah merupakan antara komponen penting dalam memulakan kehidupan.

Dengan nilai hartanah yang semakin meningkat ketika ini, pemilikan sesebuah rumah juga boleh dijadikan aset pelaburan untuk masa depan kerana harga jualannya yang boleh melonjak berlipat kali ganda.

Namun, memiliki hartanah atau kediaman sendiri bukanlah semudah yang disangka. Kadang-kadang pembeli terpaksa berhadapan dengan projek rumah terbengkalai atau rumah tidak siap.

Malah, ada dalam kalangan pembeli yang terpaksa menanggung kos kerugian tinggi susulan perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk membayar rumah yang dibeli selain pada masa sama kena menyewa.

BACA LAGI : Kecewa Rumawip terbengkalai, pengguna tuntut undang-undang lindungi hak pengguna digubal

Untuk makluman ramai, projek perumahan dianggap terbengkalai apabila kerja-kerja pembinaan dan pemajuan di tapak terhenti selama enam bulan atau lebih secara berterusan sama ada dalam tempoh masa siap atau di luar masa siap mengikut Perjanjian Surat Jual Beli.

Projek perumahan juga dianggap terbengkalai apabila pemaju yang tidak berupaya meneruskan projek masing-masing atau apabila pengawal perumahan berpendapat pemaju-pemaju tidak dapat lagi meneruskan tanggungjawab mereka sebagai pemaju.

Terdapat beberapa perkara yang menyumbang kepada projek perumahan terbengkalai antaranya ialah masalah kewangan di mana kontraktor menghadapi kesukaran kewangan tetapi bagi sesetengah projek perumahan masalah kewangan hanya dihadapi selepas projek terbengkalai.

Pada tahun lalu, media melaporkan sebanyak 301 projek perumahan swasta di Semenanjung didapati terbengkalai direkodkan bagi tempoh 2009 hingga 31 Januari 2023.

Sekiranya hartanah yang anda beli berhadapan dengan situasi ini, sudah pasti pembeli merasa terbeban dengan kewangan lagi-lagi projek yang dijanjikan siap dalam tempoh dijaduakan berlaku sebaliknya.

Apa yang boleh pembeli lakukan jika projek perumahan anda telah disahkan terbengkalai? Majoriti menyenaraikan tiga langkah penting sekiranya anda berhadapan dengan situasi 'projek sakit'.

1. Tamatkan Perjanjian Jual Beli (SPA)

1341531

Pembeli boleh menamatkan Perjanjian Jual Beli dengan menghantar Notis Pembatalan Perjanjian kepada Pemaju / Likuidator yang dilantik oleh Mahkamah.— Gambar Hiasan

Sebagai seorang pembeli anda berhak menamatkan menamatkan Perjanjian Jual Beli (SPA) anda dengan tiga syarat perlu dipatuhi.

Menurut Seksyen 8A kepada Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1967 (Pindaan 2015), berkuat kuasa pada 1 Julai 2015 menyatakan:

- Sekiranya pemaju gagal atau dengan sengaja atau enggan meneruskan sesuatu projek perumahan dalam tempoh masa enam bulan secara berterusan atau lebih daripada tempoh masa yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli.

- Pembeli telah mendapat persetujuan bertulis daripada bank pembiaya dan telah disahkan oleh Pengawal Perumahan (satu badan di bawah Akta tersebut untuk mengawal selia segala urusan berkaitan projek perumahan).

Dengan syarat di atas, pembeli boleh menamatkan Perjanjian Jual Beli dengan menghantar Notis Pembatalan Perjanjian kepada Pemaju / Likuidator yang dilantik oleh Mahkamah.

Peruntukan di atas hanya terpakai untuk Perjanjian Jual Beli yang ditandatangani dengan pemaju berkuat kuasa 1 Julai 2015 sahaja, dan sebarang Perjanjian Jual Beli yang ditandatangani sebelum tarikh ini tidak menggunakan peruntukan ini.

2. Pengembalian Semula Bayaran

A bank teller counts Malaysian Ringgit rates at the RHB Bank 28 July 2005 one week after the government removed the currency peg to the US Dollar for a manage float against a basket of currencies.

Pemaju perlu mengembalikan semua bayaran kepada pembeli dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penamatan perjanjian. — Gambar Hiasan

Setelah perjanjian dibatalkan, pemaju perumahan hendaklah mengembalikan semua bayaran kepada pembeli dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penamatan perjanjian.

Sekiranya gagal dikembalikan, pemaju tersebut boleh didakwa atau kena saman. Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000.

Selepas didapati bersalah, pemaju juga boleh didenda tidak melebihi RM5,000 bagi setiap hari kesalahan tersebut.

BACA LAGI : 'Harapan tinggal harapan', pembeli Residensi Hektar Gombak kecewa projek terbengkalai lebih 4 tahun

3. Penubuhan Jawatankuasa Bertindak

1743587

Pembeli boleh tubuhkan satu jawatankuasa dalam kalangan mereka yang terlibat dengan projek rumah terbengkalai untuk menuntut pampasan. — Gambar Hiasan

Pembeli juga boleh tubuhkan satu jawatankuasa dalam kalangan mereka yang terlibat dengan projek rumah terbengkalai.

Jawatankuasa berfungsi untuk berbincang dengan pihak bank bagi tujuan pelupusan, penangguhan atau penjadualan semula bayaran ansuran bulanan sementara keputusan rasmi dicapai dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pada masa sama, pembeli yang teraniaya boleh mencadangkan kepada KPKT untuk melantik pemaju baru bagi mengambil-alih dan meneruskan projek tersebut dengan kos ditanggung oleh pemaju baru.

Terdahulu, Majoriti melaporkan impian pembeli untuk memiliki kediaman sendiri tidak kesampaian apabila rumah idaman mereka di Projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip), Residensi Hektar Gombak, Kuala Lumpur terbengkalai sejak empat tahun lalu.

Pelbagai usaha telah dilakukan untuk membuka mata pihak pemaju untuk segera menyelesaikan projek perumahan terbabit namun didakwa gagal.

Untuk rekod, projek Residensi Hektar Gombak dimulakan pada 2017 dengan Nilai Pembangunan Kasar RM700 juta. Setiap unit berharga RM266,000 dengan keluasan 800 kaki persegi dan RM299,900 dengan keluasan 850 kaki persegi.

Projek tersebut mempunyai lima blok dan dibina atas Tanah Rizab Melayu seluas 7.85 hektar dan kesemua 2,400 unit dilaporkan sudah terjual.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram