LEBIH 40 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi melecur teruk apabila sebuah lori tangki petrol tiba-tiba meletup di tengah Liberia pada Selasa, kata ketua pegawai perubatan negara itu.
Pada awal kejadian, lori tangki yang membawa petrol itu mengalami kemalangan dan terhumban ke dalam parit di sepanjang jalan di Totota, kira-kira 130 kilometer (km) dari Monrovia.
Rakaman yang tular di media sosial sejak Jumaat menunjukkan beberapa penduduk tempatan pada mulanya berada di sekitar lori tangki untuk mencuri petrol yang tertumpah.
Perkara itu turut disahkan oleh pegawai polis, Malvin Sackor, bahawa beberapa penduduk tempatan mula mencuri petrol yang tumpah sebelum lori tangki itu tiba-tiba meletup sehingga beberapa orang maut dan tercedera.
Dalam pada itu, saksi kejadian, Aaron Massaquoi berkata, orang ramai cuba memanjat di atas trak bagi mengambil petrol, manakala sebahagian daripada mereka membawa besi menghampiri lori tangki supaya mereka mendapatkan petrol berkenaan.
Mengulas lanjut, ketua pegawai perubatan, Dr Francis Kateh berkata, sukar untuk menentukan jumlah mangsa kerana ada yang telah menjadi abu tetapi dia menganggarkan lebih 40 orang terbunuh dalam kejadian itu.
Dr Francis turut berkata, berpuluh-puluh orang yang cedera dan melecur akibat kejadian itu telah dibawa ke pelbagai hospital bagi rawatan lanjut.
Difahamkan, antara pesakit yang cedera teruk termasuk kanak-kanak dan seorang wanita hamil. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram