Setiap kanak-kanak berhak dapat bantuan pendidikan


  • Primer
  • Ahad, 22 Okt 2023

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024. — Facebook

SEKTOR Pendidikan di Malaysia merupakan antara komponen yang menerima peruntukan terbesar dalam belanjawan negara untuk sekurang-kurangnya dua dekad lamanya.

Dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani, trend ini diteruskan dengan sebanyak RM58.7 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) manakala RM16.3 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang merangkumi jumlah RM75 bilion, iaitu sebanyak 19 peratus daripada perbelanjaan pada 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 berkata, peruntukan kepada KPM adalah lebih daripada RM55.2 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2023.

Sebahagian besar peruntukan Belanjawan 2024 kepada KPM berjumlah RM2.5 bilion akan disalurkan kepada pembinaan sekolah baharu.

391566571_833817922080262_252590555211168209_n

Sebanyak RM2.5 bilion akan diperuntukkan untuk membina 26 buah sekolah baharu. — Facebook/Fadhlina Sidek

Anwar berkata, RM2.5 bilion akan disalurkan untuk pembinaan 26 sekolah baharu termasuk SMK Laya-laya di Sabah, SMK Baie di Sarawak, SMK Seri Melati di Pahang, SMK Bandar Universiti di Perak dan SMK Binjai di Kelantan.

Bukan itu sahaja, sebanyak RM930 juta akan digunakan untuk menaik taraf bangunan dan infrastruktur di 450 sekolah, termasuk 185 projek di Sarawak dan 155 projek di Sabah.

Manakala sebanyak RM210 juta pula akan disalurkan untuk pembinaan blok baharu pendidikan khas, pembekalan peralatan sokongan Pendidikan Khas dan kemudahan mesra OKU di sekolah.

Jumlah tersebut turut termasuk pembinaan 18 blok baharu yang khusus untuk murid berkeperluan khas di sekolah yang meliputi SMK Kubang Rotan di Kedah, SK Bandar Perda di Pulau Pinang dan SMK Dato' Ali Ahmad di Perlis.

“Kerajaan akan terus memperkasa dan melindungi kesejahteraan murid berkeperluan khas," kata Anwar.

Pada masa sama, Anwar juga mengumumkan peruntukan RM100 juta yang akan diberikan untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan perolehan peralatan baharu untuk pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Wakil industri akan terlibat sebagai tenaga pengajar dan membekalkan peralatan untuk meningkatkan minat murid dalam mempelajari STEM.

“Kerajaan juga akan menubuhkan Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian untuk menetapkan sasaran serta langkah bagi meningkatkan minat dan penyertaan pelajar sekolah menengah dalam bidang itu," katanya sambil menambah bahawa ini bagi membendung kemerosotan minat terhadap pembelajaran Sains dalam kalangan pelajar.

391539066_833817778746943_2106701610391700058_n

Pendekatan holistik melibatkan semua pihak bagi membantu pelajar yang masih tercicir akibat Covid-19. — Facebook

Anwar berkata, KPM mencatatkan penurunan dalam penyertaan pelajar sekolah menengah dalam aliran STEM dengan peratusan 40.94 pada 2022 berbanding 45.2 peratus pada 2017.

Bermula tahun depan, kerajaan bersetuju untuk memperluas kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) sebanyak RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, perluasan syarat itu akan memanfaatkan tambahan 35,000 lagi anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Beliau juga berkata, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) akan diperluaskan kepada pelajar sehingga Tingkatan 3 berbanding sehingga Tingkatan 1 sebelum ini.

Secara keseluruhannya, seramai sejuta pelajar akan menerima manfaat daripada peruntukan sejumlah RM150 juta itu.

"Malaysia mencatatkan jumlah penutupan sekolah tertinggi berbanding negara serantau semasa pandemik Covid-19.

"Akibatnya, terdapat sejumlah pelajar yang tercicir dan memerlukan bimbingan tambahan," tambahnya.

Sehubungan itu, Anwar berkata, RM100 juta akan disediakan bagi melaksanakan pendekatan holistik yang melibatkan semua pihak dalam membantu kesejahteraan murid yang terjejas.

Beliau berkata, KPM juga akan memulakan Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada ibu bapa, warga pendidik dan industri bagi Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang sedang dirangka.

Untuk butiran lanjut mengenai Belanjawan 2024, boleh layari https://belanjawan.mof gov.my/ms/. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram