MESKIPUN tidak sampai dua tahun menapak dalam industri percetakan dan penerbitan, Majoriti 7 sudah mula meraih kepercayaan dan minat pembaca tanah air.
Ini dibuktikan apabila akhbar mingguan itu meraih anugerah gangsa bagi kategori Rangkaian Media, Putra Aria Brand Awards 2023 pada Khamis.
Kejayaan tersebut telah membuktikan kredibiliti Majoriti 7, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam kalangan pengiklan sebagai produk yang memiliki nilai tawaran unik dan distribusi secara kreatif dalam pasaran niaga yang khusus.
Dianjurkan oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), anugerah ini dicipta untuk mengiktiraf pemasar dan pembina jenama.
Keputusan adalah berdasarkan hasil tinjauan dan penyelidikan secara dalam talian bagi menentukan jenama pilihan pengguna dalam kategori berbeza.
Pengurus Besar Kanan Produk di Star Media Group, Chung Eng Lee berkata, pengiktirafan daripada Putra Aria Brand Awards 2023 menjadi sumber kebanggaan yang amat bermakna buat pihaknya.
"Anugerah yang ditentukan oleh para pengguna melalui penilaian pemilihan menggariskan dedikasi pasukan kami untuk memupuk sebuah jenama yang dikehendaki oleh pembaca.
"Ia bukan sahaja mengesahkan usaha kami, tetapi juga menyemarakkan motivasi untuk terus melangkaui sempadan dan menetapkan piawaian baharu yang lebih dinamik dalam arena media massa," katanya dalam satu kenyataan.
Ujar beliau, anugerah tersebut merupakan bukti komitmen berterusan Majoriti 7 yang dilancarkan pada 20 Oktober 2022 itu untuk membina jenama mewakili selera pembaca.
Berpegang kepada slogan Adrenalin Metropolitan, ternyata Majoriti 7 berupaya menjadi refleksi kepada keunikan persada tempatan dan antarabangsa.
"Berpandukan ciri-ciri itu juga, akhbar ini secara konsisten menawarkan perspektif bernas dalam ruang lingkup tersendiri.
"Pencapaian ini mendorong kami untuk memberikan komitmen berterusan dan terus cemerlang dalam kategori Rangkaian Media," jelasnya.
Akhbar bahasa Malaysia mingguan premium pertama negara, Majoriti 7 adalah yang pertama seumpamanya menggunakan bahasa kebangsaan.
Daripada perniagaan, teknologi kepada hartanah dan liputan meluas berkaitan gaya hidup, Majoriti 7 disusun khas untuk merangkumi pelbagai segmen yang memenuhi keperluan masyarakat bandar.
Memfokuskan pada kedudukan khusus Majoriti 7 bagi produk dan segmentasi pembaca adalah faktor kejayaan utama yang membezakannya daripada produk lain dalam pasaran.
Akhbar berkenaan mewakili suara baharu masyarakat Melayu moden dan progresif yang mana penilaian kandungannya memenuhi kehendak jenama berkaitan.
Dengan permulaan tahun baharu ini, Majoriti 7 akan terus melebarkan jaringan menerusi kepelbagaian kandungan kreatif yang dapat meningkatkan pengalaman pembaca.
Penganjuran Putra Aria Brand Awards 2023 dikonsepsualkan oleh 4As sebagai simbol penghormatan bagi mengiktiraf usaha pihak media dalam membina jenama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram