BARU-BARU INI, seorang pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) sanggup meninggalkan kerjayanya dan berhijrah ke Singapura untuk bekerja sebagai cleaner (tukang cuci) demi mendapatkan gaji lebih berbaloi.
Tindakannya itu menjadi bualan warga maya kerana menurut pensyarah tersebut dia tidak menyesali keputusannya ekoran daripada perbezaan jurang gaji yang tinggi.
Individu itu memberitahu dia dibayar gaji lumayan sekitar $3,100 (RM10,815) sebulan sebagai tukang cuci di Singapura.
Dia juga mengakui kerja di Singapura telah banyak mengubah kehidupannya berbanding sebelum ini ketika dia hanya dibayar sekitar RM1,900.
Pensyarah berkenaan juga dilaporkan berkata walaupun kini tidak menjadi pendidik, namun dia bersyukur kerana gaji yang diterimanya jauh lebih tinggi berbanding pendapatannya sebelum ini.
Dalam pada itu, dia turut akui bekerja di negara jiran adalah ‘jalan pintas’ buatnya untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi.
Individu itu memberitahu dia dibayar sekitar RM1,900 ketika menjadi pensyarah di Malaysia. — Gambar Hiasan
Namun, ada segelintir warga maya yang berasakan tindakannya itu akan memberi kesan pada kariernya untuk jangka panjang.
Seorang warga maya, Alvin Tan berasakan tindakan pensyarah berkenaan bukanlah satu langkah yang bijak.
"Not a smart move (bukan langkah bijak) kerana sekarang dia masih muda dan bertenaga. Bayangkan lagi 10 tahun, sudah tentu dia akan mencari pekerjaan lain.
"Apa yang dia nak tulis dalam resume? Tak nak nak tulis jadi cleaner dan kalau dia menipu sekalipun dalam resume mesti ada yang pertikaikan apa pekerjaan dia selama beberapa tahun?," tulisnya.
Pearly Oi juga mempunyai pendapat yang sama dan berasakan pensyarah tersebut seharusnya cuba bekerja dalam bidang pendidikan di Singapura.
"Saya tak salahkan dia untuk kerja jadi cleaner demi gaji yang lebih tinggi tetapi untuk karier masa depan rasanya tak sesuai.
"Di Singapura banyak pekerjaan lain yang melibatkan pendidikan. Bayangkan anda sendiri belajar tinggi tetapi akhirnya jadi seorang tukang cuci. Ini juga akan menggalakkan anak muda tak nak belajar," katanya.
Melihat kepada keadaan ekonomi sekarang, sudah semestinya ramai yang memilih untuk bekerja di luar negara terutamanya di Singapura dan Australia memandangkan nilai mata wang yang lebih tinggi.
Namun, ia bukanlah jalan penyelesaian jangka panjang terutamanya bagi anak muda dan juga negara yang akan kehilangan ramai tenaga mahir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram