SEORANG pesakit meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital gara-gara sikap pentingkan diri seorang pemandu yang tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans di Sri Aman, Sarawak pada Jumaat.
Kakitangan hospital berkenaan, Jerry Rentap turut berkongsi tragedi malang tersebut melalui Facebook miliknya pada hari yang sama.
"Seperti yang anda lihat di dalam video, sebuah Perodua Kembara enggan memberi laluan kepada ambulans dalam keadaan siren ambulans berbunyi.
"Kami harus segera membawa pesakit sampai ke Hospital Sri Aman ll dan dua orang petugas kesihatan didalam ambulans sedang berterusan memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa.
"Harap orang ramai sebagai pengguna jalan raya lebih peka dan memberi kerja sama jika ambulans membunyikan siren di jalan raya.
"Buang sedikit bongkak itu, berkemungkinan suatu hari nanti pesakit yang kami bawa itu saudara kamu," tulisnya.
Sementara itu, isteri kepada pesakit, Annie Andrew meluahkan perasaan sedih dan kecewa dengan sikap pemandu Perodua Kembara yang menghalang laluan ambulans tersebut sehingga menyebabkan suaminya, Morgan Alban gagal mendapat rawatan awal dan meninggal dunia.
"Orang di dalam ambulans itu adalah suami saya. Saya akan ingat nombor (pendaftaran) kereta awak sampai bila-bila. Suami saya telah meninggal dunia," tulisnya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak hospital mahupun pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram