INSIDEN seorang pemandu Perodua Kembara yang menghalang sebuah ambulans sehingga menyebabkan pesakit dibawanya meninggal dunia di Sri Aman, Sarawak pada Jumaat lalu sememangnya masih lagi menjadi isu panas pada ketika ini.
Hal ini kerana walaupun pemandu tersebut akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa, namun alasan yang diberikan oleh anak pemandu berkenaan sukar diterima oleh warga maya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan salah seorang daripada keluarga pemandu tersebut memberikan alasan bahawa pemandu berkenaan mempunyai masalah pendengaran.
Melalui satu tangkap layar di Facebook dipercayai milik keluarga pesakit memberitahu anak pemandu tersebut sudah berjumpa dengan mereka.
"Kes selesai, anak pemandu Perodua Kembara sudah datang berjumpa dengan kami.
"Pak cik ini ada masalah pendengaran dan bukan sengaja menghalang laluan ambulans.
"Anaknya turut menunjukkan bukti surat daripada pihak hospital tentang sakit yang dihidapi ayahnya," tulis tangkap layar berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Luluh hati isteri, suami meninggal dunia gara-gara pemandu bongkak halang laluan ambulans
Isteri kepada mangsa, Annie Andrew turut meluahkan perasaan sedih dan kecewa dengan sikap pemandu Perodua Kembara yang menghalang laluan ambulans tersebut sehingga menyebabkan suaminya, Morgan Alban gagal mendapat rawatan awal dan meninggal dunia.
Namun, jika mengimbau kembali kes pemandu yang menghalang laluan ambulans, ia bukanlah pertama kali terjadi.
Sehubungan itu, tiga lagi kes halang ambulans yang menimbulkan berang netizen:
1. Pemandu halang ambulans alami masalah pendengaran di Perak
Pemandu SUV (kanan) yang tidak memberi laluan kepada ambulans hingga memaksa kenderaan berkenaan ‘beralah’ dan beralih ke lorong kiri.
Dalam kejadian pada Mei 2022, seorang pesakit hampir tidak sempat mendapatkan rawatan di hospital gara-gara seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) tidak memberi laluan kepada ambulans hingga memaksa kenderaan berkenaan ‘beralah’ dan beralih ke lorong kiri.
Tindakan pemandu tersebut turut tular di media sosial dan menerima kecaman warga maya selepas dia enggan memberi laluan kepada kenderaan kecemasan tersebut di Kilometer 292, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kampar, Perak pada ketika itu.
Namun, tindakannya itu membawa padah selepas dia ditahan oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pemandu dan pemilik SUV itu telah diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar hari ini untuk siasatan lanjut setelah kenderaan terlibat berjaya dikesan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kampar.
Katanya, hasil siasatan mendapati, pemandu kenderaan berusia 62 tahun itu mengalami masalah pendengaran ‘Tinnitus-Acoustic Neuroma’ sejak tiga tahun lalu.
“Lelaki itu juga masih menerima rawatan lanjut daripada pakar berkaitan penyakit berkenaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM)," katanya.
2. Dua beranak halang laluan ambulans di Klang
Dua beranak yang bertindak samseng dengan mengejar ambulans di sebuah jalan raya di Klang, Selangor.
Tindakan dua beranak yang tular menghalang laluan sebuah ambulans menghantar pesakit dialisis pada 25 Mac 2022 jalan raya di Klang, Selangor masih lagi menjadi bualan warga maya sehingga sekarang.
Masakan tidak, kedua-dua lelaki berkenaan turut bertindak ala samseng jalanan mengejar ambulans itu dan menyuruh pemandu kenderaan kecemasan tersebut untuk keluar dari kenderaan.
Namun tindakan mereka membawa padah apabila video tersebut mula tular di Facebook dan akhirnya mereka ditahan oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, sewaktu ambulans melalui kawasan Jalan Tepi Sungai Klang, didapati sebuah van jenis Toyota Hiace warna putih memandu secara rapat dari arah belakang ambulans berkenaan.
“Pengadu telah menegur pemandu van tersebut dengan menggunakan pembesar suara agar menjarakkan kenderaan.
“Namun tidak lama kemudian, seorang lelaki tempatan menaiki sebuah motosikal Modenas Kriss warna biru telah memberhentikan motosikal di hadapan ambulans berkenaan dan menghalang pergerakan mereka,” katanya.
Tambahnya lagi, selepas menghalang pergerakan ambulans berkenaan, suspek yang menaiki motosikal telah menghampiri pintu bahagian pemandu sebelum mengarahkannya turun dari kenderaan manakala van tersebut berhenti di tepi ambulans tersebut.
Menurut beliau, pemandu segera mengundurkan ambulans untuk mengelak kedua-dua kenderaan suspek terbabit dan terus memecut menuju ke hospital bagi mengelak sebarang insiden buruk dan tidak diingini berlaku.
3. Tiga ditahan serang pemandu ambulans di Kuala Selangor
Tindakan tiga lelaki termasuk remaja menyerang pemandu ambulans yang sedang membawa pesakit wanita di sebuah pasar raya di Kuala Selangor, Selangor sememangnya harus dijadikan iktibar pada masyarakat
Dalam kejadian yang berlaku pada 9 November 2022, petugas kesihatan dihalang ketika membawa seorang pesakit yang cedera dari premis berkenaan.
Malah ada di antara mereka dilihat bertindak kasar dan meninggikan suara kepada kakitangan yang bertugas pada ketika itu.
Namun, ketiga-tiga suspek berusia 17 hingga 35 tahun menerima padah selepas ditahan oleh pihak berkuasa pada hari yang sama.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata penahanan dibuat susulan laporan dibuat Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tanjong Karang berusia 27 tahun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram