Siap bawa Adun naik heli untuk kumpul sokongan, imbau 4 Langkah pernah cetuskan ketidaktentuan politik Malaysia


  • Politik
  • Rabu, 03 Jan 2024

Langkah Sheraton yang berlaku pada 2020 menyebabkan Kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir jatuh dan digantikan dengan PN yang diterajui Muhyiddin..

PADA Sabtu lalu, politik negara dikejutkan dengan dakwaan mengenai wujudnya usaha terancang pihak tertentu bagi menjatuhkan kerajaan.

Komplot dikenali sebagai Langkah Dubai yang sebelum ini hanya beredar sebagai khabar angin di media sosial itu didedahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop.

Menurut beliau, usaha tersebut didakwa timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Ujarnya, pertemuan itu dipercayai berlangsung bagi menetapkan tugas tertentu kepada ejen yang akan dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan.

Ismail turut mendakwa bahawa perancangan itu melibatkan penglibatan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun dan ia turut membabitkan penggunaan dana dikatakan daripada 'sumber asing' bagi menjatuhkan kerajaan dipimpin Anwar.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama Malaysia berhadapan dengan komplot yang berupaya mencetuskan krisis politik di dalam negara.

Berikut Majoriti senaraikan empat usaha atau lebih dikenali sebagai 'langkah' yang pernah mewarnai dan mencetuskan ketidaktentuan dalam politik negara:

1. Langkah Sheraton

Langkah Sheraton yang berlaku pada Februari 2020 merupakan peristiwa yang begitu penting dalam sejarah politik negara.

Ini kerana buat pertama kalinya, kerajaan yang ketika itu diterajui oleh gabungan Pakatan Harapan (PH) ditukar di luar daripada tempoh Pilihan Raya Umum (PRU).

Peristiwa tersebut mendapat nama daripada sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor yang digunakan bagi perjumpaan antara kumpulan ahli Parlimen yang kemudiannya mengisytiharkan menukar sokongan mereka.

Susulan daripada pertemuan pada 23 Februari 2020 itu, 11 ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan keluar parti dan membentuk blok bebas.

file79ez5uj9e6p1i18z4aa1

Langkah Sheraton menyaksikan sebanyak 11 ahli Parlimen dari PKR mengumumkan keluar parti dan membentuk blok bebas.

Pada masa sama, kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mengumumkan keluar dari gabungan PH.

Perkembangan itu menyebabkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil tindakan untuk meletakkan jawatan pada hari sama, iaitu 24 Februari 2020.

Peletakan jawatan tersebut secara rasminya menandakan kejatuhan kerajaan PH yang terbentuk sejak Mei 2018, selepas PRU14.

Pengakhiran kepada krisis yang berlaku itu menyaksikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri pada 29 Februari 2020.

2. Langkah Kajang

Langkah Kajang merupakan krisis perebutan politik yang berlaku pada 2014 membabitkan kerusi Menteri Besar Selangor.

Gerakan ini yang direncanakan Pengarah Strategi PKR ketika itu, Rafizi Ramli bermula selepas tindakan wakil rakyat PKR, Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang pada 27 Januari 2017.

Langkah tersebut dibuat bagi memberi laluan kepada Anwar bagi bertanding dalam PRK Kajang dan seterusnya menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang ketika itu memegang jawatan selaku Menteri Besar Selangor.

Usaha bagi melakukan peralihan kepimpinan berkenaan dilakukan dipercayai bagi menjadi pemangkin terhadap usaha Pakatan Rakyat untuk menawan pentadbiran di peringkat Persekutuan.

Ini mengambil kira kedudukan Selangor sebagai negara terkaya dan mempunyai populasi tertinggi di Malaysia.

553

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun, hasrat Anwar untuk menjadi calon dalam PRK Kajang terbantu selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas tuduhan liwatnya.

Situasi itu menyebabkan PKR terpaksa meletakkan isterinya yang juga presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi bertanding di kerusi tersebut.

Malah, parti itu kemudiannya juga menjadikan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor pada 21 Julai 2014 sehingga mencetuskan krisis persefahaman antara Khalid dan PKR.

Keadaan tersebut seterusnya membawa kepada peletakan jawatan oleh Khalid pada 26 Ogos 2014.

Cadangan pencalonan Wan Azizah bagaimanapun ditolak pihak istana yang mahu setiap parti dalam kerajaan negeri Selangor menamakan calon yang dirasakan sesuai untuk mengepalai kerajaan itu.

PAS meletakkan tiga nama sementara PKR dan DAP hanya menamakan Wan Azizah sebagai Menteri Besar.

Namun, tindakan PKR menamakan hanya satu calon Menteri Besar, iaitu Wan Azizah, meskipun diminta menampilkan tiga calon mendapat kritikan daripada pihak Istana Selangor.

Susulan daripada itu, Istana Selangor kemudiannya mengumumkan Datuk Seri Azmin Ali sebagai pengganti kepada Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Krisis Langkah Kajang ini dipercayai menjadi titik perubahan kepada perpecahan kerjasama yang berlaku antara PAS bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

3. Langkah '16 September'

Projek 16 September merupakan satu rancangan Pakatan Rakyat (PR) diketuai Anwar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Langkah tersebut berlaku selepas politik negara mengalami perubahan besar apabila kerajaan buat pertama kalinya kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dalam keputusan PRU12 pada 2018.

Pada 14 April 2008, Anwar mengumumkan bahawa PR sedang mencukupkan bilangan untuk membentuk kerajaan melalui penyeberangan beramai-ramai ahli-ahli parlimen BN ke gabungan itu.

Tarikh yang ditetapkan untuk peralihan kuasa itu berlaku ialah 16 September 2008.

6726FA7F-A797-4A96-9B95-4244D629FA91

Pada 14 April 2008, Anwar mengumumkan bahawa PR sedang mencukupkan bilangan untuk membentuk kerajaan melalui penyeberangan beramai-ramai ahli-ahli Parlimen BN ke gabungan itu.

Bagaimanapun, pertukaran ditunggu-tunggu oleh penyokong Pakatan Rakyat pada waktu itu akhirnya tidak menjadi kenyataan.

Dalam tempoh tersebut juga, 49 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dilaporkan turut dihantar ke Taiwan untuk menyertai lawatan sambil belajar bermula dari 8 September hingga 16 September 2008.

Tindakan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan usaha bagi menghalang Ahli Parlimen BN daripada mengalih sokongan mereka terhadap kerajaan semasa.

Menerusi salah satu kes perbicaraannya di Mahkamah Tinggi pada 2017, Anwar memaklumkan bahawa rancangan tersebut gagal selepas cadangan untuk mengadakan sidang khas Dewan Rakyat ditolak Perdana Menteri.

Beliau pada masa sama turut menyatakan bahawa pada ketika itu, dirinya sudah berjaya mendapat sokongan mencukupi daripada pihak Barisan Nasional terdiri daripada 30 ke 40 anggota Parlimen BN untuk melompat parti.

4. Langkah Fraser Hill

Pada 26 Mac 1976, Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris meletakkan jawatan selaku Menteri Besar Selangor, selepas majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undi tidak percaya terhadapnya.

Sebelum itu, beliau berdepan dengan beberapa pertuduhan dan turut disingkirkan daripada Umno pada 19 Mac.

Bagaimanapun, apa yang menarik, cucu kepada Harun, Dr Ashaari Azman Shah mendakwa terdapat usaha yang giat berlaku sebelum berlangsungnya proses undi tidak percaya.

Harun_Idris

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris.

Menerusi ciapan di laman X pada Sabtu lalu, peristiwa politik yang membawa kepada kejatuhan datuknya sebagai Menteri Besar Selangor itu juga berlaku di Fraser Hill, Pahang.

"Langkah Fraser Hill 1976 mungkin adalah yang paling dramatik. Anda tahu ia adalah sesuatu yang dramatik apabila seluruh DUN diterbangkan ke suatu tempat melalui helikopter ke Bukit Fraser.

"Ini untuk 'meyakinkan' mereka bagi memberikan undi tidak percaya terhadap MB Selangor (Harun Idris) ketika itu," ujarnya.

Dr Ashaari turut berkongsikan satu surat layang yang dihantar kepada Harun mengenai peristiwa tersebut.

"Walaupun saya tidak boleh mengatakan bahawa kandungan surat ini sepenuhnya benar, tetapi pastinya peristiwa itu berlaku.

"Ia disahkan kepada saya oleh pelbagai sumber, termasuk beberapa Adun (terlibat) yang masih hidup," tulisnya dalam ciapan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram