Keyakinan terhadap badan kehakiman terhakis, orang ramai tidak faham fungsi mahkamah, pendakwa raya — Tengku Maimun


  • Primer
  • Isnin, 15 Jan 2024

Tengku Maimun (belakang, tengah) berkata, mahkamah sering dihukum dengan gambaran negatif akibat daripada tindakan pihak pendakwaan untuk menarik balik sesuatu kes.

KEGAGALAN rakyat untuk memahami dengan baik sistem perundangan negara menyebabkan badan kehakiman sering kali menjadi sasaran apabila berlakunya keputusan mahkamah yang sukar diterima orang ramai, kata Ketua Hakim N.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, mahkamah sering dihukum dengan gambaran negatif akibat daripada tindakan pihak pendakwaan untuk menarik balik sesuatu kes.

Ujarnya, situasi itu menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman semakin terhakis.

Hakim tertinggi itu berkata demikian ketika mengulas mengenai beberapa perbicaraan kes jenayah berprofil tinggi yang menyaksikan beberapa ahli politik dilepaskan.

"Beberapa keputusan ini tidak diterima dengan baik oleh orang ramai, dan sebahagian besar daripada kesalahan diletakkan pada badan kehakiman kerana membuat satu-satunya pilihan keputusan yang dibolehkan selepas penarikan balik pertuduhan sedemikian," katanya dalam ucapannya pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2024 pada Isnin.

BACA LAGI: Ketua Hakim Negara dedah pernah terima ugutan bunuh

Beliau berkata, orang ramai gagal memahami bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam keputusan menarik balik kes ialah pendakwa raya dan bukannya mahkamah.

Di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara, yang juga Pendakwa Raya mempunyai budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi kesalahan selain di hadapan Mahkamah Syariah.

Tengku Maimun berkata, selepas penarikan balik diputuskan, mahkamah hanya mempunyai dua pilihan sahaja ketika membuat keputusan.

Menurutnya, dua pilihan itu adalah sama ada memberikan perintah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan (DAA) atau dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan (DNAA).

"Mahkamah tidak boleh mendesak pendakwa raya supaya pertuduhan dikekalkan. Setiap daripada mereka, badan kehakiman dan pendakwa raya mempunyai fungsi Perlembagaan mereka sendiri yang digariskan dalam Perlembagaan," katanya.

Beliau menambah, kedua-dua pihak iaitu pendakwa raya dan mahkamah perlu dinilai secara adil untuk menjalankan kuasa mereka tanpa mempengaruhi antara satu sama lain.

BACA LAGI: [VIDEO] Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan

Pada 3 September tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diberikan DNAA oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berhubung penyelewengan berjuta-juta dana daripada Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu mendapat reaksi negatif daripada orang ramai.

Pada 2 Disember tahun lepas, Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Pejabat Peguam Negara menarik balik kesnya terhadap Ahmad Zahid. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram