'Duit saya', aktivis ambil insiatif tampal 10 jalan rosak di Klang


  • Massa
  • Ahad, 14 Jan 2024

Mikhael yang mengambil keputusan mengupah beberapa pekerja untuk menampal 10 jalan berlubang di Klang baru-baru ini. — The Star

TIDAK mampu bertahan dengan keadaan jalan raya berlubang, seorang lelaki mengambil inisiatif sendiri dalam menyelesaikan masalah tersebut di Klang, Selangor baru-baru ini.

Mikhael Iskhandar, 46, yang juga seorang aktivis, sanggup mengupah beberapa individu untuk menampal sebanyak 10 jalan berlubang di sepanjang Jalan Hulubalang, Taman Sentosa.

Namun, apa yang lebih menarik perhatian apabila Mikhael bertindak melukis perkataan 'Duit Saya' pada tampalan terbesar yang menutupi salah satu lubang di lokasi itu.

BACA LAGI : Banjir, jalan berlubang undang bahaya kepada penduduk Klang

Mikhael berkata, tujuannya melakukan perkara itu adalah untuk memalukan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang sepatutnya melaksanakan tanggungjawab tersebut dan menyelenggara Klang dengan baik.

msg1050426791-22285

Masalah jalan berlubang di Klang yang sudah berlarutan sejak 2022 lagi.

Menurutnya, ia dilakukan supaya dapat menunjukkan bahawa bahan dan cara tampalan yang digunakan oleh kontraktor MPK tidak berkualiti.

"Disebabkan itu, masalah jalan berlubang kerap terjadi walaupun selepas dibaiki. Sangat penting bagi setiap lubang ditampal dengan betul supaya ia tahan lama.

"Saya gunakan sebanyak RM1,300 untuk menampal 10 lubang dengan tar yang diadun bersama bahan mengandungi gam selain menggunakan mesin pemadat.

"Ia sangat berpatutan dan saya tidak nampak mengapa bahan berkualiti tidak boleh digunakan untuk memastikan tampalan tahan lebih lama," katanya.

Tambahnya, dia memilih jalan tersebut kerana ia terletak berhampiran sekolah dan tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku jika ada kenderaan yang hilang kawalan disebabkan masalah berkenaan.

Mikhael berkata, sebelum ini, tayar hadapan motosikal rakannya pernah tersangkut di salah satu lubang di jalan itu.

Bukan itu sahaja, Mikhael juga dikatakan menggesa seluruh penduduk Klang untuk bersama-samanya agar dapat melakukan perkara sama.

Mikhael turut berkata, usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mereformasikan negara akan sia-sia jika penjawat awam tidak cekap berkhidmat kepada rakyat.

"Penjawat awam perlu bangkit dan tidak boleh berfikiran kolot lagi. Jadi, sila hubungi saya di [email protected] sekiranya anda mahu membantu saya untuk mereformasi Klang," katanya lagi.

BACA LAGI : Angkara jalan rosak, rider maut terpelanting motor terperosok bawah lori di Jambatan Selat Klang

Sementara itu, Adun Sentosa, Gunaraj George dalam satu kenyataan berkata, MPK sudah dimaklumkan lebih awal untuk menampal jalan berlubang di lokasi itu.

Namun, katanya, tiada tindakan susulan selepas tempoh perkhidmatan Ahli Majlis itu tamat.

"Laluan itu rosak akibat hujan lebat selain kenderaan berat yang kerap menggunakan jalan itu setiap hari," jelasnya. — The Star/WANI MUTHIAH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram