[VIDEO] Baru cerita soal kematian lepas solat Jumaat, pemandu lori sampah maut elak lubang


  • 112
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Dalam insiden sekitar pukul 12 tengah hari itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian akibat tersepit.

GARA-GARA mahu mengelak lubang jalan, seorang lelaki maut apabila lori yang dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam kejadian kemalangan di Kampung Sentosa Jaya, Jalan Sandakan-Lahad Datu, Kinabatangan, Sabah pada Sabtu.

Dalam insiden sekitar pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang juga kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT), Mohamad Izwan Mambasang, 39, disahkan maut di tempat kejadian akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail dilaporkan berkata, siasatan mendapati sebelum kejadian, lori dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan.

Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, lori terbabit disyaki hilang kawalan akibat mengelak jalan lubang dan tidak rata.

"Keadaan itu menyebabkan lori yang dipandu mangsa terbabas lalu terbalik dan mangsa terhimpit di kerusi pemandu dalam kepala lori," katanya seperti dipetik dalam satu laporan media tempatan.

Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujarnya, saksi kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan di talian 089-561890 bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, individu dipercayai kenalan mangsa turut melahirkan ucapan takziah di sosial media berikutan pemergian arwah.

Malah, ada juga yang memaklumkan bahawa arwah yang juga dikenali sebagai Pak Cik Man sempat memberikan sedikit petanda beberapa hari sebelum kejadian.

"Pak Cik Man baru saja dia datang di geraiku di Masjid Daerah kelmarin. Dia datang senyum sampai dia habis solat Jumaat dia keluar masjid pun senyum sahaja. Lama kami berborak. Kami cerita pasal kematian.

"Dia kata mana tahu Jumaat hari ini adalah yang terakhir buatnya. Esok (hari ini) rupa-rupanya betul dia dah tiada kerana kemalangan. Semoga dipermudahkan semua urusan jenazah pakcik dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh," tulis Ummu Sym.

"Salam takziah buat keluarga Allahyarham Izwan Mambasang. Semoga roh beliau dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT. Arwah baik orangnya, pemurah senyum," tulis Samsir Yunus Sekeluarga.

Pada masa sama, lebih memilukan, terdapat netizen turut berkongsikan maklumat bahawa mangsa baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama isterinya yang kini turut difahamkan sedang mengandung anak pertama.

"Difahamkan mangsa baru saja berkahwin dan isterinya mengandung anak pertama," kata DG Ghani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram