[VIDEO] Dah nak masuk 2024, penduduk Taman Desa Aman dakwa 18 tahun dibelenggu masalah jalan berlubang tak pernah berturap


  • Massa
  • Sabtu, 30 Dis 2023

Tangkap layar video dikongsikan berhubung keadaan jalan berlubang yang berlaku di sebuah taman perumahan dekat Sungai Lalang, Kuala Muda, Kedah.

ISU jalan berlubang dihadapi penduduk di sebuah taman perumahan dekat Sungai Lalang, Kuala Muda, Kedah dilihat masih tidak menemui penyelesaian meskipun masalah tersebut sudah berlarutan sejak 18 tahun lalu.

Perkara itu dikongsikan sendiri individu dipercayai salah seorang penduduk di kawasan tersebut menerusi hantaran di kumpulan Telegram, Penduduk Sungai Petani (PSP).

Menurut hantaran berkenaan, kerosakan jalan yang teruk dan berlarutan itu dilaporkan berlaku di Lorong 12, Taman Desa Aman, Sungai Lalang, Fasa 4.

Kongsinya, meskipun isu jalan berlubang itu dilihat banyak berlaku di taman perumahan terbabit, pengadu mendakwa tiada sebarang tindakan diusahakan bagi membaikinya sepanjang tempoh tersebut.

"Assalamualaikum, minta jasa baik dan pihak berkenaan. Saya nak buat aduan mengenai jalan yang banyak berlubang perlu diturap atau ditampal sebab saya dah duduk sini 18 tahun dari beli rumah lagi, tak pernah diturap.

"Kereta nak lalu atau motosikal nak lalu mesti rasa tak selesa. Bukan saya saja tapi orang lain juga. Saya mewakili orang taman untuk membuat aduan ini Sekian, terima kasih," tulis hantaran berkenaan.

Dalam pada itu, perkongsian tersebut turut disertakan dengan video dan beberapa keping gambar menunjukkan kerosakan yang berlaku di lokasi tersebut.

Berdasarkan klip berkenaan, individu yang membuat rakaman dilihat menaiki motosikal dan melalui beberapa lubang besar yang terjadi di lorong perumahan terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram