Warganet minta PMX kembalikan waktu 'sebenar' Semenanjung Malaysia, kongsi kebaikan jika kembali normal


  • Massa
  • Jumaat, 12 Jan 2024

Perubahan terhadap waktu GMT7 di Semenanjung Malaysia dikatakan bakal menjadikan waktu pagi lebih panjang. — Gambar hiasan

BAGI yang pernah mengembara ke negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, anda pastinya akan perasan bahawa matahari di kawasan tersebut terbit lebih awal sejam berbanding Semenanjung Malaysia.

Perbezaan waktu yang dirasai itu berlaku meskipun Semenanjung Malaysia sepatutnya terletak di zon waktu sama dengan kedua-dua negara tersebut yang berada di kedudukan longitud hampir sama.

Bagaimanapun, perkara tersebut tidak berlaku di Malaysia kerana kerajaan pada 1981 memutuskan supaya negara menggunakan waktu piawaian lapan jam ke hadapan Greenwich Mean Time (GMT8).

Zon masa tersebut berbeza berbanding piawaian GMT7 yang digunakan di negara lain yang berada di kawasan longitud sama seperti Malaysia.

Antara hujah yang digunakan bagi ketetapan tersebut pada waktu itu antara lain adalah untuk menyeragamkan zon masa di Malaysia Barat dengan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak.

BACA LAGI: Kebersamaan rakyat dituntut agar ekonomi negara terus maju — PM Anwar

Pada masa sama, langkah tersebut diambil bagi membolehkan Malaysia berada di zon masa yang sama seperti di kota zon perekonomian lain di rantau Asia seperti Hong Kong, Taipei, Shanghai, Manila dan Beijing yang menggunakan GMT8.

Bagaimanapun, selepas lebih 30 tahun pelaksanaannya, terdapat perbincangan khususnya dalam kalangan masyarakat mengenai keperluan untuk mengubah kembali piawaian tersebut mengikut waktu yang sebenar.

Peoples sitting with physical distancing as thye ride a MRT  train heading towards Kuala Lumpur City centre on the first day MCO 3.O for federal territory  .pix taken 8.30am. (May 7,2021) — AZHAR MAHFOF/The Star.

Warganet berpandangan bahawa penggunaan piawaian masa yang sebenar bakal memberikan kesan terhadap gaya hidup penduduk di Semenanjung. — Gambar hiasan

Malah, terdapat juga warganet yang mewujudkan perbincangan untuk meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mempertimbangkan dengan serius perkara berkenaan.

"Kembali saya usulkan kepada Perdana Menteri untuk mengembalikan waktu Semenanjung kepada GMT+7, demi kesihatan rakyat Semenanjung Malaysia.

"Dah banyak kajian menunjukkan tak baik hidup dalam DST (waktu piawaian yang diawalkan sejam)," tulis IrdhiansyahSS.

Menerusi hantaran sama, dia turut berkongsikan maklumat mengenai kesan buruk terhadap kesihatan individu sekiranya waktu piawaian yang digunakan tidak selari dengan jam badan manusia.

"Jam dan rentak kitar hari dicetus matahari terbit. Jadual GMT8/DST tidak selari dgn jam badan.

"Bila kita pergi kerja atau sekolah sebelum matahari terbit, ia membawa kesan negatif kepada kesihatan, produktiviti dan keselamatan," menurut perkongsian tersebut.

BACA LAGI: 'Tak patut ulas wacana dengan cacian, cemuhan', PM Anwar ulas isu Ashabul Kahfi

Hantaran sama turut menyatakan bahawa gangguan kepada terhadap kitaran jam badan manusia juga mendedahkan terhadap risiko kesihatan seperti penyakit jantung.

Dalam pada itu, terdapat juga warganet berpandangan bahawa penggunaan piawaian masa yang sebenar turut memberikan kesan terhadap gaya hidup masyarakat di negara tersebut.

"Saya tak faham mengapa rakyat Malaysia menentang cadangan ini (kembali kepada waktu sebenar). Saya sudah pergi ke negara lain dan kehidupan mereka sangat tenang kerana anda ada separuh daripada waktu pagi untuk diri dan aktiviti yang anda hendak lakukan," tulis jhnrdzi.

"Hujung minggu atau hari cuti cuba set jam jadi GMT+7, pastu tengok la rasa dia macam mana. Saya pernah buat setahun sekarang, kerja bila kerja baru tukar balik.

"Pagi jadi lagi best. Bangun pukul 6 dah terang. Lepas itu pergi joging , basuh baju dan sarapan semua, tengok jam, eh baru pukul 9 pagi," kata UbaiD_rac.

"Lahir di Sabah, sekarang duduk Semenanjung. Kadang-kadang balik Sabah, terasa sangat beza dia terutamanya waktu pagi (bangun awal pkul 5.30 pagi).

"Malam lepas Maghrib kalau keluar, tengok balik rumah baru pukul 9 malam. Pukul 11 atau 12 malam dah ngantuk. Dekat Kuala Lumpur waktu sama rasa awal lagi," kongsi nurshuhada.

Untuk rekod, perubahan waktu piawaian bukanlah sesuatu yang mustahil atau langsung tidak pernah dilakukan.

Malah di kawasan Semenanjung Malaysia sahaja, sejak 1901 sehingga kini, sebanyak enam perubahan sudah dilakukan terhadap piawaian waktu standard yang digunakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram