SELEPAS pemilik Perodua Bezza yang berjaya mendapat pampasan ekoran kereta miliknya rosak dalam tempoh tidak sampai lapan jam selepas digunakan, seorang pemilik Honda HR-V 1.5 Turbo pula tampil menceritakan masalahnya.
Wanita yang dikenali sebagai Noriya Mamat itu berkongsi kisah 'duka' tentang keadaan kenderaan baharunya itu selepas mendapat inspirasi daripada kisah pemilik Bezza.
Menurut Noriya, keretanya mula mengalami masalah selepas dihantar ke pusat servis Honda yang terletak di Gong Badak, Terengganu pada 2 September lalu, iaitu kira-kira dua minggu selepas dia mendapat kenderaan itu.
"Saya menerima kereta tersebut pada 26 Ogos dan selepas dua minggu, saya hantar kereta tersebut untuk diservis buat kali pertama di samping turut menggunakan perkhidmatan cuci kenderaan yang disediakan.
"Namun, panas yang saya sangka hingga ke petang rupanya kesedihan saya bertandang kerana kereta saya mula mengalami masalah. Selepas dua hari servis, kereta secara tiba-tiba menghadapi masalah antaranya lampu depan dan lampu meter yang menyala tanpa dikawal. Selain itu, lampu kecemasan juga turut mengalami masalah yang sama.
"Memandangkan kereta masih dalam waranti, saya hantar ke pusat servis semula dan seminggu selepas itu, saya ambil semula kereta tetapi malangnya kenderaan masih mengalami masalah sama.
"Bayangkan dengan saya yang sarat mengandung pada waktu kejadian terpaksa berulang alik ke Honda," katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.
Luahnya lagi, masalah kereta idaman miliknya itu tidak dapat diselesaikan oleh pihak Honda walaupun selepas beberapa bulan.
"Apa yang saya sedih sangat, selepas saya bersalin pada Oktober, masalah kenderaan itu masih belum dibaiki dan rosak. Walaupun diberikan dengan kereta ganti iaitu sebuah Perodua Myvi yang 'uzur' sebagai pengganti sementara, kami masih tak berpuas hati.
"Jawapan daripada Honda juga mengecewakan kerana menurut mereka tidak dapat mengesan punca masalah kereta saya dan perkara itu berlarutan sehingga ke bulan Disember lalu," jelasnya.
Noriya turut meluahkan rasa terkilan apabila dia mendakwa Honda lambat mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu tersebut.
"Kereta saya bermasalah dari bulan Ogos 2023 tetapi hanya bulan Disember 2023, baru pihak Honda Malaysia datang tengok kereta saya. Setelah empat bulan menunggu, baru semalam (Rabu) memaklumkan masalah kereta saya tidak dapat diselesaikan.
"Pihak Honda Malaysia memberitahu saya untuk menghubungi cawangan saya membeli kenderaan tersebut tetapi jawapannya menghampakan selepas kami diberitahu untuk membuat aduan kepada Honda Malaysia bagi mendapatkan solusi yang terbaik.
"Saya hanya mahukan keadilan kerana setiap bulan saya terpaksa membuat bayaran bulanan sebanyak RM1,500 sebulan. Besar harapan saya untuk dapatkan kereta Honda HRV baharu tetapi mereka memberi tahu yang itu tidak termasuk dalam waranti," rayunya.
Sementara itu, jurucakap Honda Malaysia ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan masalah yang dihadapi pelanggan tersebut dan akan menyelesaikan isu tersebut dengan segera.
"Kami sudah berkomunikasi secara langsung dengan pelanggan berkenaan dan sedang melaksanakan siasatan mendalam dan menyeluruh berhubung perkara ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram