Tuduhan PN rasuah Agong RM1bilion jatuhkan kerajaan adalah fitnah jahat — Muhyiddin


  • Politik
  • Khamis, 11 Jan 2024

Muhyiddin menafikan tuduhan dan dakwaan bahawa PN memberikan rasuah kepada Agong sebagai langkah menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekerasnya terhadap tuduhan parti itu merasuah Yang Di-Pertuan Agong sebanyak RM1 bilion sebelum ini.

Beliau turut meluahkan rasa kesalnya dan menganggap ia satu fitnah jahat yang sengaja dilontarkan serta disambut oleh pihak Pakatan Harapan (PH).

"Tuduhan bahawa PN merasuah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebanyak RM1 bilion untuk menjatuhkan kerajaan adalah satu fitnah melulu yang jelek, keterlaluan dan tidak masuk akal.

"Fitnah jahat ini disambut pula oleh beberapa tokoh Pakatan Harapan termasuk yang berjawatan di dalam kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI : Kes rumah terbakar, Pemuda PN lapor polis tuduhan Ngeh

msg1050426791-22130

PN mendakwa ia suatu fitnah jahat dan tidak berasas.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, pelaku yang menyebarkan fitnah itu perlu diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

"Saya percaya mereka yang membuat dan menyebar fitnah ini melakukan kesalahan berat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

"Laporan polis telah dibuat oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung PN supaya mereka yang berkenaan disiasat dan diambil tindakan tegas," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengingatkan para pemimpin PH dan ahlinya supaya tidak mengheret institusi Raja Berperlembagaan dalam taktik fitnah politik yang dikatakan jahat dan kotor.

"Janganlah memfitnah orang lain semata-mata untuk menutup pekung kelemahan dan kegagalan diri sendiri.

"Malaysia mempunyai peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan cara-cara serta kaedah yang sah dalam pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan," jelasnya.

BACA LAGI : Bersatu dakwa 10 ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan sokong PN

Tambahnya, Perlembagaan Persekutuan membenarkan sebuah kerajaan dibentuk sama ada melalui pilihan raya atau di luar pilihan raya, iaitu apabila atas apa jua sebab Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.

Peruntukan perlembagaan itu dikatakan mestilah dipatuhi dalam menentukan sebarang pembentukan atau pertukaran kerajaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram