[VIDEO] Bersatu dakwa 10 ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan sokong PN


  • Primer
  • Sabtu, 02 Dis 2023

Anwar menyatakan tidak meletak sebarang syarat, hanya meminta pihak pembangkang untuk mengadakan rundingan.

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mendakwa berlaku perbincangan berhubung beberapa ahli Parlimen kerajaan akan beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan baharu.

Beliau mendakwa lebih 10 ahli Parlimen daripada Kerajaan Perpaduan termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal menjadi kelompok pertama menyatakan sokongan kepada blok pembangkang.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, dakwaan itu hanyalah spekulasi semata-mata.

Namun, baru-baru ini, lima ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Namun, timbul pula dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan ketika ini seolah-olah mengamalkan rasuah terhadap ahli Parlimen pembangkang untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak meletakkan sebarang syarat sebaliknya hanya meminta pihak pembangkang untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan mengenai perkara itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, saranan Anwar itu adalah supaya ahli Parlimen pembangkang berbincang dengannya bagaimana untuk menjalin kerjasama dalam tadbir urus hal ehwal negara, pentadbiran kerajaan dan Parlimen.

Jelasnya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan Perpaduan mengiktiraf dan memerlukan pembangkang yang konstruktif.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram