Faktor kos, pulangan pelaburan buat ramai setuju kenyataan 'Gunung Everest' Sanusi


  • Podium
  • Sabtu, 25 Nov 2023

Sanusi turut menegaskan kemampuan kelab-kelab Liga Super masih jauh untuk menyaingi sasaran pihak atasan. — Facebook/KDA FC

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Rabu mengumumkan 10 daripada kelab Liga Super musim ini diberikan lesen peringkat kebangsaan untuk beraksi dalam divisyen teratas bola sepak negara pada 2024.

Antara yang memperolehinya adalah Kedah Darul Aman (KDA) FC meskipun mereka sebelum ini dilaporkan mengalami masalah tunggakan gaji selama beberapa bulan.

Perolehan berkenaan sudah tentu memberi kelegaan buat penyokong Hijau Kuning apabila mereka sekali lagi berpeluang menyaksikan kemampuan skuad Sang Kenari.

Bagaimanapun, proses itu disifatkan cukup sukar untuk mereka dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan dakwaan tersebut.

Menurutnya, syarat yang dikenakan terhadap kelab-kelab tanah air adalah terlalu tinggi melihat kepada kemampuan serta kebolehan semasa mereka secara pengurusan.

2294780

Skuad Sang Kenari berjaya memperolehi lesen kebangsaan untuk musim depan. Facebook/KDA FC

Malah, dia yang juga merupakan Menteri Besar Kedah sempat berseloroh dengan berkata, ketetapan itu boleh diibaratkan seakan-akan ketinggian Gunung Everest sedangkan kemampuan masing-masing hanyalah setinggi Gunung Jerai.

Luahan Sanusi terbabit pada awalnya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat bola sepak tanah air yang berasakan syarat itu dibuat selepas penilitian dibuat MFL.

Bagaimanapun, kisah sebaliknya mula berlaku di media sosial apabila ramai pihak menegaskan pendapat Presiden KFA itu adalah tepat melihat kepada realiti sebenar hari ini.

"Fakta. Sekiranya kita kelab bolab sepak sendiri pun fikir cara hendak sediakan kewangan dan fasiliti yang dikenakan syarat MFL, pasti cukup sukar.

"Bayangkan kalau setahun sesetengah pihak boleh uruskan kelab Liga M3 dengan RM500,000 atau RM1 juta, agak tidak berbaloi nak dapatkan lesen kebangsaan," kata Fitri Syazwan Jemmy.

Dr-Mohd-Daud-Bakar

Kehadiran Daud Bakar mengurangkan pengaruh Sanusi bersama KDA FC. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Betul lah dia cakap tu, kos operasi kelab Liga Super adalah terlalu tinggi, tetapi tiada pulangan lumayan untuk menampungnya. Penaja mahu labur pun tahu tiada pulangan," ujar Boy Yaacob.

"Memang hakikatnya bola sepak negara belum sampai tahap perniagaan, belum boleh ada untung daripadanya. Cuma harap duit daripada penajaan sahaja," kata Ulie Ramli.

Sanusi sebelum ini memikul tanggungjawab sebagai Presiden KFA sebelum pengaruhnya terhadap KDA FC kian menipis dengan kehadiran pemilik baharu, Tan Sri Mohd Daud Bakar.

Meskipun pada awalnya memberi sinar tersendiri, skuad Sang Kenari turut terpalit dengan isu gaji sehingga mendesak pihak pengurusan kelab tampil memberi kenyataan.

Namun, ia dilihat tidak melunturkan semangat pemain di atas padang dengan pasukan kendalian Nafuzi Zain kini berada di tangga ketiga Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram