ISU jalan rosak bukan perkara baharu di Malaysia, setiap tahun ada sahaja aduan yang dibuat, namun keadaan ini masih berlarutan tanpa penyelesaian.
Malah, masalah itu menjadi semakin serius apabila ia melibatkan keselamatan orang awam yang melalui jalan raya tersebut setiap hari.
Terbaharu, tular di laman media sosial memaparkan keadaan sebuah jalan raya yang rosak teruk di Jalan Felda Bukit Waha, Kota Tinggi, Johor.
Melalui video yang dimuat naik di laman Facebook Orang Kota - Tinggi pada Sabtu itu memaparkan situasi jalan raya yang berlubang dan tidak rata sehingga mengundang bahaya kepada orang awam yang melalui jalan tersebut.
Lebih parah lagi jalan tersebut merupakan jalan utama yang sering dilalui oleh penduduk tempatan di kawasan tersebut sekaligus mendatangkan masalah kepada mereka terutamanya bagi individu menunggang motosikal.
Dalam video berdurasi 43 saat tersebut memaparkan terdapat banyak kesan tampalan jalan yang tidak rata di lokasi terbabit dan pentadbir Facebook berkenaan mempersoalkan belum tiada tindakan diambil pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu tersebut.
"Jalan Waha ke Belukar Durian, admin tak pasti jalan ini dibawah jabatan mana," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna media sosial, Mustaqim Ahmad menggesa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk menyelesaikan isu tersebut.
"Mohon Menteri Besar Johor ambil tindakan segera, sudah lama berlaku dan aduan demi aduan sudah pun dibuat. Ibarat mencurah air di daun keladi, tiada tindakan daripada pihak berkaitan," tulisnya.
Seorang lagi pengguna, Sallehudin Rahmat Salleh turut meminta aktivis keselamatan jalan raya, Lando Zawawi untuk membantu mereka.
"Tolong Lando Zawawi bantu kami, makin teruk sudah ini. Hari-hari saya lalu jalan yang berlubang pergi kerja," katanya.
Takanashi Yasuharu pula meninggalkan komen yang sinikal selepas melihat video berkenaan.
"Jalan baru lepas kena bom ke apa ini?," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram