SERANGAN Israel ke atas Semenanjung Gaza selepas 7 Oktober lalu telah mengakibatkan puluhan ribu bangunan musnah dan hancur dalam sekelip mata pada ketika ini.
Meskipun kebanyakan infrastruktur utama yang dibiyai Amerika Syarikat (AS) di Gaza terhindar daripada serangan tersebut, paparan satelit menunjukkan sekurang-kurangnya lima tapak dibina di bawah perbelanjaan Amerika Syarikat turut mengalami kerosakan.
Namun, bertindak atas situasi itu, AS kemudiannya menghantar wang berbilion-bilion dolar buat tentera Israel meneruskan pengeboman di Gaza.
Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID), difahamkan telah bekerjasama rapat dengan pegawai Israel bagi memastikan infrastruktur dibiayainya terlindung daripada konflik berkenaan.
Dave Harden yang merupakan pengarah USAID dari 2013 hingga 2016 berkata, pihaknya sentiasa membantu pegawai Israel dan memaklumkan koordinat kedudukan agar bangunannya tidak dibom dan diserang.
Meskipun begitu, keadaan terkini selepas perang Israel-Hamas yang meletus pada 7 Oktober lalu, menyaksikan sekurang-kurangnya lima tapak yang dibina AS telah pun rosak.
Tapak itu termasuklah kompleks sukan, sekolah, institusi kebudayaan dan pusat kanak-kanak kurang upaya.
Israel menyalahkan tentera Hamas atas kemusnahan tersebut dengan mendakwa penduduk Gaza menjadikan bangunan itu sebagai pusat perlindungan ketika dibedil bom Zionis.
Mereka juga menuduh bahawa tentera Hamas telah menyembunyikan senjata serta membina terowong bawah tanah di bangunan milik AS yang sekali gus mengakibatkan serangan roket Israel mensasarkan lokasi tersebut.
Untuk rekod, AS telah membelanjakan lebih RM32.9 bilion (USD 7 bilion) untuk sektor pembangunan dan bantuan kemanusiaan di Tebing Barat dan Gaza sejak 30 tahun dahulu menerusi Misi Pembangunan Antarabangsa.
Pembayar cukai AS telah membiayai air minuman bersih, jalan baharu, penambahbaikan hospital dan sekolah serta banyak lagi pembaikan sejak menubuhkan misi USAID di wilayah Palestin pada 1994.
Setiap projek yang dibina AS di Gaza dan Tebing Barat diluluskan oleh pegawai Israel.
Maka, selama bertahun-tahun, projek disokong AS yang musnah semasa konflik peperangan kemudiannya dibina semula dengan dana disalurkan kepada Zionis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram