Selesaikan masalah rakyat lebih efektif, 3 isu KPKT perlu beri fokus pada 2024


  • Massa
  • Sabtu, 06 Jan 2024

Antara masalah rakyat yang perlu difokuskan oleh KPKT pada 2024.

MEMASUKI tahun baharu 2024, pastinya pelbagai rancangan pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan dalam menyelesaikan masalah masyarakat.

Pada 2023, pelbagai inisiatif dan usaha dilakukan oleh kerajaan untuk membina masyarakat makmur serta mengurangkan masalah atau beban yang ditanggung rakyat.

Ia termasuklah dengan masalah pembangunan dan perumahan yang perlu ditangani oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

BACA LAGI: KPKT cadang tubuh unit pantau kebersihan tandas awam

Antara isu yang perlu difokuskan oleh KPKT adalah termasuk pengubahsuaian di perumahan bertingkat khususnya di Program Perumahan Rakyat (PPR), kereta terbiar dan pelupusan sampah.

Justeru, 2024 menjadi tahun paling sesuai untuk KPKT mengambil langkah pantas dan efektif bagi menyelesaikan isu berbangkit yang dinyatakan:

1. Pengubahsuaian kediaman terutamanya di flat/pangsapuri

photo_6106921961784457961_y

Pengubahsuaian tanpa kebenaran yang dilakukan oleh sesetengah penghuni rumah pangsapuri. — Gambar hiasan

Isu pengubahsuaian rumah terutamanya di kawasan perumahan bangunan tinggi seperti flat dan pangsapuri sememangnya bukan perkara baharu yang perlu diketengahkan.

Masalah yang sering berlaku adalah melibatkan para penghuni pangsapuri kos rendah yang bertindak secara melampau mengubah suai kediaman mereka menjadi lebih besar.

Ia banyak berlaku di beberapa lokasi termasuk di sekitar Taman Datuk Harun yang pernah dikatakan menjadi kawasan kerap dijadikan sebagai contoh negatif.

BACA LAGI: MBIP banteras aktiviti ubah suai rumah secara haram

Masalah tersebut tidak seharusnya berlaku kerana, berdasarkan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dan Akta 133 (Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974), sebarang kerja pembinaan untuk mengubah suai dan membuat binaan tambahan kepada struktur bangunan yang sedia ada perlu mendapatkan kelulusan secara bertulis daripada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu.

Namun, sebarang pengubahsuaian juga dikatakan tidak mungkin akan mendapat kebenaran daripada pihak PBT kerana pembinaan dilakukan di atas tanah milik orang lain

Oleh itu, pihak KPKT kini disarankan agar memandang isu berbangkit itu dengan lebih serius.

2. Isu kenderaan terbiar

photo_6106921961784457962_x

Masalah pelupusan kenderaan terbiar yang semakin membimbangkan. — Gambar hiasan/Bernama

Isu lambakan kenderaan terbiar melibatkan kereta atau motosikal terutama di parkir yang terletak di kawasan perumahan antara yang perlu difokuskan oleh KPKT.

Ia kerana, pada Ogos 2023, masalah lambakan kenderaan terbiar terutamanya di sekitar pangsapuri di Lembah Klang, Selangor dikatakan seakan-akan tiada titik noktah.

Pada masa sama, ia juga dilaporkan menjadi lebih serius walaupun pihak berkuasa kerap melakukan operasi pelupusan kenderaan terbabit.

Hal itu sekali gus mencetus kebimbangan dan mengganggu keselesaan masyarakat serta penghuni rumah yang perlu berebut parkir di dalam kawasan perumahan mereka.

BACA LAGI: Jika disusun, hampir 6,000 kenderaan tersadai ditunda PBT di Selangor melepasi aras Gunung Everest

Berdasarkan garis panduan KPKT, tempoh pengurusan kenderaan terbiar mengambil tempoh enam hingga 12 bulan dan ia merupakan jangka masa yang panjang.

Tambahan pula, lambakan kenderaan terbiar itu turut menjadi antara masalah besar apabila ia boleh mencacatkan pandangan dan persekitaran di sesebuah kawasan.

Justeru, sudah tiba masanya untuk KPKT menerusi PBT membuat rangka baharu atau sistem tindakan yang lebih efektif dalam menangani isu berkenaan.

3. Isu pengurusan dan pelupusan sampah

photo_6106921961784457959_x

Isu timbunan sampah di tapak pembangunan hingga mengeluarkan bau tidak enak antara yang perlu diberi fokus oleh KPKT. — Gambar hiasan/Bernama

Setiap penghuni tidak kira di rumah teres atau pangsapuri semestinya mahukan keselesaan di dalam mahupun di luar rumah.

Tetapi, masalah pelupusan sampah menjadi salah satu halangan bagi penghuni untuk menikmati keselesaan mereka.

Antaranya adalah isu timbunan sampah di tapak pembangunan yang melampau sehingga mengeluarkan bau tidak enak.

Sebelum ini, seorang wakil penduduk yang juga Pengerusi Badan Bertindak Kapar, Selangor Rahim Iska pernah berkata, isu tersebut sebenarnya sudah muncul sejak 10 tahun lalu di lokasi tersebut namun semakin menjadi lebih teruk ketika pandemik sejak 2020.

BACA LAGI: 'Saudara datang pukul 3 pagi', MB Selangor balas dakwaan gagal urus isu sampah di Hulu Langat

Pada masa sama, Kerajaan Melaka dilaporkan pernah menggesa agar KPKT menyegerakan projek sisa jadi tenaga (WTE) di tapak pelupusan sisa pepejal Sanitari Sungai Udang, Melaka.

Lebih parah lagi apabila Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) merekodkan peningkatan kegiatan pembuangan sampah haram di negeri itu.

Exco Perumahan Kerjasama Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin dilaporkan juga berkata, tapak pelupusan sedia ada semakin kritikal dan hanya boleh menampung kapasiti sampah dalam tempoh dua tahun lagi.

Sementara itu, isu yang bermula sejak 10 tahun lalu itu juga dikatakan semakin memburuk sejak pandemik melanda pada 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram