[VIDEO] 'Saya dah turun dia tak nak datang', Timbalan menteri bengang bos pemaju projek tergendala di Morib enggan bersemuka


  • Tular
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Tangkap layar Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir hadir ke tapak projek perumahan tergendala di Morib, Banting, Selangor.

TIMBALAN Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir meluahkan rasa kecewa terhadap sikap pemaju selepas turun padang ke kawasan tapak projek perumahan tergendala di Morib, Banting, Selangor pada Jumaat.

Ini kerana kedatangannya ke tapak tersebut tidak disambut baik oleh pihak pemaju apabila kelibat pemilik ataupun bos syarikat tersebut tidak kelihatan ketika kejadian.

Perjumpaan yang difahamkan sudah diaturkan itu gagal menemui jalan penyelesaian dengan hanya seorang wakil sahaja daripada pihak pemaju dihantar untuk berbincang dengan beliau.

Sehubungan itu, ia nyata mengundang kemarahan beliau yang kemudiannya terus meninggikan suara dan mempersoalkan tindakan pemaju yang tidak bertanggungjawab atas projek perumahan yang dijalankan.

"Untuk projek sakit Morib Bay ini saja, segala kekuatan jentera kerajaan diturunkan.

"JPN, MPKL, Air Selangor, LPHS, agensi teknikal lain termasuk wakil kerajaan negeri untuk cari jalan keluar.

"Alih-alih bila turun, bos pemaju tak turun, saya dah turun dia tak nak datang," ciapnya di laman Twitter.

Wakil pemaju terbabit tampil menjelaskan tuan pemaju tidak dapat hadir kerana menghadiri mesyuarat penting.

Namun, alasan itu ditolak oleh YB Akmal Nasir yang menyifatkan tiada kepentingan melainkan penyelesaian projek tergendala di kawasan tersebut.

Tiada sebarang kenyataan lanjut dibuat berhubung status projek perumahan berkenaan setakat ini dengan rakaman dimuat naik turut memaparkan penjelasan selanjutnya akan dikongsikan pada video seterusnya.

Pada Julai lalu, Kerajaan Selangor bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan bahawa isu perumahan terbengkalai membabitkan lebih 500 pembeli Rumah Selangorku di Morib, Kuala Langat akan diselesaika.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika itu berkata, projek berkenaan sedang diteliti oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta sudah mendapat perhatian KPKT bagi penyelesaian bersama.

kira-kira 500 pembeli kediaman projek perumahan Rumah Selangorku bagi golongan B40 di Morib dilaporkan buntu selepas rumah dibeli yang sepatutnya siap pada 2020 belum boleh diduduki.

Rata-rata pembeli dikatakan sudah mula membuat bayaran ansuran pinjaman antara RM1,000 hingga RM1,500 kepada bank sejak 2019, namun apartmen setinggi 17 tingkat itu belum siap dibina. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram