Blake, hero Batang Kali sudah pergi


  • Primer
  • Selasa, 19 Sep 2023

Blake pernah terlibat dengan pelbagai misi SAR termasuk tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

ANJING pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dikenali sebagai Blake, terpaksa ditidurkan (euthanized) selepas dikesan menghidap barah limfoma.

Blake yang bertugas di unit Anjing Pengesan (K9) itu terlibat dengan pelbagai misi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan, Blake yang dilaporkan mengidap barah limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu sempat mengikuti raptai sempena sambutan hari kebangsaan lalu.

Menurutnya, Blake telah dimasukkan sekali lagi ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14 September apabila didapati hilang selera makan dan kelesuan selain untuk mendapatkan perkembangan berkaitan barah dihadapi anjing tersebut.

"Sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, anjing ini gagal memberi respons kepada ubat dan rawatan yang diberikan oleh pihak veterinar.

"Barah limfoma yang dikesan pada anjing tersebut juga semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan semakin membesar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

WhatsApp Image 2023-09-19 at 21.45.35 (1)

Blake banyak menyumbang kepada kejayaan operasi pencarian yang dijalankan oleh JBPM di seluruh negara.

Jelas kenyataan itu, hasil perbincangan bersama Pakar Veterinar, Dr Nur Alimah Rahman, atas faktor kesihatan yang semakin merosot dan tiada harapan untuk pulih, pihak jabatan telah bersetuju dengan keputusan untuk menidurkan Blake.

"Blake terpaksa ditidurkan pada pukul 4.38 petang semalam dan disahkan sudah tiada hari ini.

"Anjing Pengesan Blake adalah anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada tahun 2017," katanya.

Tambah kenyataan itu, anjing Pengesan Blake banyak menyumbang kepada kejayaan operasi pencarian yang dijalankan oleh JBPM di seluruh negara antaranya mengesan mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor; operasi SAR kepala air di Titi Hayun di Yan, Kedah dan operasi mengesan mangsa tertimbus di Kampung Temelong, Karak di Pahang.

"Kehilangan Blake sudah pastinya dirasai oleh seluruh warga JBPM dan khidmat bakti yang disumbangkan sepanjang berkhidmat akan sentiasa dihargai dan dikenang. Selamat jalan Blake," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram