KPKT cadang tubuh unit pantau kebersihan tandas awam


  • Primer
  • Rabu, 04 Jan 2023

Nga berkata, dia membuat lawatan spontan ke tarikan pelancong itu untuk memeriksa kemudahan tandas selepas menerima aduan orang ramai mengenainya.

MENTERI Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming akan bertemu Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah untuk membincangkan penyelenggaraan Dataran Merdeka tidak lama lagi.

Nga berkata, dia membuat lawatan spontan ke tarikan pelancong itu untuk memeriksa kemudahan tandas selepas menerima aduan orang ramai mengenainya.

“Saya dapati tahap kebersihan memuaskan dan pencahayaan juga bagus. Bagaimanapun, siling tandas lelaki rosak, dispenser sabun tangan kosong dan beberapa pili sudah kering.

“Dalam lawatan tersebut, saya juga mendapati padang Dataran Merdeka mempunyai tompok-tompok 'botak', premis perniagaan bawah tanah dalam keadaan usang dan kotak suis elektrik tidak ditutup dengan sempurna sekali gus membahayakan keselamatan pengunjung,” katanya dalam Facebook pada Selasa.

Tambah Nga lagi, tahap kebersihan tandas mencerminkan imej negara, terutamanya yang terletak di tempat tarikan pelancong utama atau pintu masuk ke negara ini.

“Tandas yang bersih, menarik dan berbau wangi juga akan meningkatkan persepsi positif pada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya berharap kesemua 155 PBT di negara ini akan menubuhkan satu unit bagi memantau kebersihan tandas awam dan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan mengikut jadual bagi memastikan tandas awam di negara ini sentiasa bersih dan berfungsi,” katanya.

Beliau juga berkata kementerian di bawah pimpinannya akan mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan infrastruktur atau kemudahan awam yang dibina menggunakan wang rakyat dijaga, diselenggara dengan baik dan sentiasa dalam keadaan memuaskan.

“Budaya penyelenggaraan perlu dititikberatkan dan dipandang serius oleh semua agensi kerajaan.

“Demi kesejahteraan rakyat, saya berharap semua pihak dapat bekerjasama menjaga kebersihan tempat awam dan menyokong usaha kementerian membantu negara maju, mampan dan adil,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram