Menteri KPKT beri gaji sebulan kepada staf menang anugerah


  • Primer
  • Sabtu, 11 Nov 2023

Kor Ming (empat dari kiri) ketika bergambar bersama kakitangan KPKT yang memenangi AiPSA 2023 baru-baru ini. — Twitter/NgaKorMing

MENTERI Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming membuat kejutan besar apabila memutuskan memberi gajinya selama sebulan kepada kakitangan kementerian yang memenangi Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AiPSA) 2023.

Menerusi ciapan di platform X, beliau berkata, langkah itu dilakukan untuk menunjukkan pengiktirafan terhadap sumbangan dan bakti diusahakan kakitangan kementeriannya.

"Semasa mesyuarat pasca-Kabinet, saya telah memberi satu bulan gaji menteri saya kepada kakitangan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang berjaya memenangi kategori tertinggi AIPSA 2023 sebagai pengiktirafan jasa dan bakti mereka.

"Malaysia Madani, pemimpin dan rakyat berpisah tiada," katanya.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat, memenangi dua anugerah dengan inovasi Audio Frequency Intercept System (AFIS) pada AIPSA 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 8 November lalu.

Inovasi AFIS yang merupakan sistem penyampaian maklumat dan amaran awal turut memenangi kategori Trek Keselamatan dan Pentadbiran Anugerah Inovasi Sektor Awam 2023 (AInSA).

Selain itu, KPKT turut memenangi Anugerah AInSA 2023 melalui Jabatan Kerajaan Tempatan untuk gerbang ePayment berteraskan Sektor Awam mereka, PBTPay, yang direka untuk menangani isu pembayaran bil perkhidmatan di pihak berkuasa tempatan.

Kutipan melalui PBTPay kini mencecah RM540 juta dan dijangka mencapai pungutan sehingga RM1 bilion menjelang 2025 dengan ia ketika ini digunakan oleh 99 pihak berkuasa tempatan.

Sistem pembayaran itu disasar untuk diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram