BAGAIKAN mencurah air ke daun keladi, tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita dan menyekat aktiviti perniagaan di kawasan Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dilihat tidak berkesan.
Sebelum ini, DBKL menerusi laman rasmi Twitternya mengumumkan pelaksanaan penguatkuasaan di lokasi tersebut secara mengejut berkaitan aktiviti melibatkan penjualan makanan, minuman, kendera saji (food truck), peralatan mainan serta aktiviti penyewaan basikal.
BACA LAGI: Asap, sampah ganggu ketenteraman, DBKL dipuji 'bungkus' peniaga jagung bakar depan KLCC
Serbuan secara mengejut yang dilakukan oleh DBKL di lokasi berkenaan baru-baru ini. — Twitter/DBKL
Hasil pemeriksaan yang dijalankan itu, DBKL berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas dengan menyita dan memindah barangan setelah pemilik gerai gagal mempamerkan lesen atau permit untuk membina stor penyimpanan sementara awam.
Namun, salah seorang pengguna akaun Twitter (X) @ajmalashburn mendakwa, tindakan tersebut seolah-olah tidak memberi sebarang kesan terhadap peniaga berkenaan.
BACA LAGI: Rundingan DBKL temui jalan buntu, penunjuk perasaan 'Kepung Demi Palestin' enggan berundur
Peniaga yang didakwa masih menjalankan perniagaan seperti biasa walaupun sudah diserbu sebelum ini. — Twitter/@ajmalashburn
Pada masa sama, dia turut memuat naik beberapa gambar memaparkan keadaan tepi jalan yang dipenuhi dengan deretan gerai para peniaga.
"Baru sahaja pergi petang tadi. Macam tiada kesan pun lepas kena serbu. Peniaga masih selamba berniaga di tempat parkir kereta.
"DBKL tolong lakukan sesuatu. Nak cari parkir pun susah," dakwanya.
Pada masa sama, ada juga yang mendakwa bahawa perkara itu menyebabkan kesesakan jalan dan menyukarkan orang awam untuk melakukan aktiviti riadah.
"Periksa waktu malam terutama malam minggu. Tengok bagaimana peniaga-peniaga ni buat jalan sesak sebab mereka," komen @BenRazzy89.
"Letak la anggota di situ ikut shift, orang nak beriadah pun payah. Nak parkir payah, celah-celah juga nak berniaga," tulis @MillahOrched. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram