Selepas Jalan Silang, penduduk desak DBKL serbu Taman Tasik Titiwangsa


  • Massa
  • Jumaat, 05 Jan 2024

Orang awam mendakwa keadaan Tasik Titiwangsa pada ketika ini tidak ubah seperti pasar malam. — Gambar hiasan

SUSULAN serbuan yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi operasi khas Parlimen Bukit Bintang di sekitar tiga kawasan panas di Kuala Lumpur iaitu Jalan Silang, Jalan Petaling dan Masjid India, rakyat sekali lagi mendesak agar pihak berkuasa tempatan itu menyerbu Taman Tasik Titiwangsa.

Hal ini kerana, beberapa orang awam mendakwa kawasan riadah tersebut dicemari sampah dengan sampah hasil aktiviti-aktiviti perniagaan makanan yang semakin berleluasa sehingga menyebabkan kawasan itu menjadi terlalu sesak terutamanya pada waktu malam.

Melalui tinjauan di laman media sosial X (Twitter), seorang pengguna media sosial, @saraabella_ berkata, keadaan lokasi taman tersebut tidak ubah seperti pasar malam.

"Tolong pantau Taman Tasik Titiwangsa selepas pukul 5.30 petang, sudah macam pasar malam. Orang datang nak beriadah tapi kawasan parkir semua jadi tapak orang meniaga," ciapnya.

BACA LAGI : 'Murah tapi tak berkualiti', ibu bapa luah rasa risau tahap penyediaan makanan kantin

Sementara itu, @KB37113075 turut berharap DBKL mengambil maklum isu kebersihan di kawasan tersebut.

"Tolong pantau Taman Tasik Titiwangsa @DBKL2U. Pagi-pagi kalau bersenam penuh sampah sarap. Kotor dan busuk," tulisnya.

Seorang lagi pengguna, @siodelta pula meminta agar pihak berkuasa tempatan agar bertindak dengan lebih tegas.

"Jika ada kesalahan-kesalahan berkaitan kuatkuasa Dewan Bandaraya sila ambil tindakan. Rimas melihat keadaan kawasan parkir dipenuhi orang berniaga yang membahayakan," tulisnya.

Tinjauan di laman X DBKL juga mendapati pengguna turut menggesa agar pihak berkuasa lebih tegas dan menyediakan kawasan yang bersesuaian untuk peniaga.

@MillahOrched berharap agar pihak berkuasa tempatan tersebut memindahkan peniaga di kawasan itu ke tempat khas.

"DBKL, Taman Tasik Titiwangsa jangan lupa. Pindahkan peniaga ke tempat lain, kami nak parkir pun susah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram