[VIDEO] Asap, sampah ganggu ketenteraman, DBKL dipuji 'bungkus' peniaga jagung bakar depan KLCC


  • Massa
  • Isnin, 01 Jan 2024

Pihak DBKL ketika mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang menjual jagung bakar secara terbuka di hadapan KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas terhadap peniaga menjual jagung bakar di hadapan pusat beli-belah Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ia susulan satu aduan dilakukan oleh orang awam yang mendakwa tidak selesa kerana mengganggu ketenteraman ramai.

Aduan yang dimuat naik dalam satu hantaran di Twitter (X) @isusemasaviral pada Ahad itu sekali gus mendakwa, asap dan sampah yang berada di kawasan peniaga tersebut menambahkan lagi ketidakselesaan pengunjung.

msg1050426791-21501

Tangkap layar video memaparkan dua peniaga ketika menjual jagung bakar di lokasi berkenaan.

Hantaran berserta sebuah video itu juga memaparkan dua peniaga lelaki membuka meja kecil sambil membakar jagung secara terbuka berhadapan pusat beli-belah itu.

Bagaimanapun, DBKL bertindak pantas mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kedua-dua peniaga terbabit selepas aduan dimuat naik.

DBKL menerusi komen balas ciapan pengadu tersebut memuat naik beberapa gambar ketika tindakan dilakukan.

Gambar berkenaan memaparkan beberapa anggotanya yang mengarahkan peniaga itu membungkus kembali barang jualan mereka.

msg1050426791-21500

Aktiviti penguatkuasaan yang dilakukan oleh DBKL terhadap seorang peniaga jagung yang berniaga di depan KLCC.

Pada masa sama, rata-rata netizen yang melihat hantaran tersebut memuji tindakan tangkas DBKL dan mencadangkan agar rondaan dilakukan dengan lebih kerap bagi mengatasi masalah sama.

"Satu tindakan terpuji. Terbaik DBKL perangi habis-habisan," komen @KingOfTheKin9s.

"Ini saya puji, tapi jangan berani dengan peniaga Melayu sahaja tau," tulis @Senupdoq.

"Syabas, tapi kena sentiasa membuat pemantauan berterusan," komen @Zaxview76. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram