Kaki kiri hilang, pemuda Orang Asli maut dibaham harimau ketika menyumpit di Gua Musang


  • 112
  • Khamis, 05 Okt 2023

Kesan tapak kaki harimau yang dijumpai berhampiran mayat orang Asli di Gua Musang pada Rabu. — Facebook

SEORANG lelaki Orang Asli ditemui meninggal dunia dengan kaki kirinya hilang disyaki dibaham harimau selain kesan cakaran haiwan itu pada kepala dan badannya, di kawasan hutan Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan penemuan mayat lelaki berusia 25 tahun itu dan operasi membawa keluar mayat telah dimulakan pada pagi Khamis.

"Mayat dijumpai oleh penduduk pada Rabu. Pihak polis sudah pergi ke lokasi untuk membawa keluar mayat dan dibawa ke hospital untuk proses selanjutnya.

"Tempoh diambil untuk sampai ke kampung itu kira-kira dua hingga tiga jam dan bergantung kepada keadaan cuaca," katanya.

WhatsApp Image 2023-10-05 at 2.29.24 PM

Gambar mangsa, Pisie Amud, dari suku kaum Temia yang maut dibaham harimau. — Facebook

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli, Mohd Sani Nahtiman berkata, mangsa, Pisie Amud, dari suku kaum Temiar, dikatakan tidak pulang ke rumahnya di Kampung Sugi setelah keluar menyumpit pada Selasa lalu.

Beliau berkata, penduduk mula keluar mencari mangsa setelah menyedari kehilangannya dan menemukan motosikal, peralatan menyumpit serta kesan tapak kaki harimau di beberapa lokasi berlainan di atas bukit Kampung Perwer berdekatan dengan kawasan ladang kelapa sawit.

"Kira-kira pukul 6 petang pada Rabu, saya bersama 10 penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan berkaitan penemuan terbabit.

"Berpandukan kesan tapak kaki yang dipercayai harimau itu, saya dan tiga penduduk berjalan sejauh 500 meter mengikut jejak yang ditinggalkan sebelum menemui mayat mangsa,” katanya kepada pemberita di Kampung Perwer, Gua Musang, Kelantan.

Mohd Sani berkata, seramai 20 individu berkawal secara bergilir-gilir di sekitar kawasan mayat pada pukul 9 malam Rabu sementara menunggu ketibaan polis ke tempat kejadian.

"Kira-kira 4 pagi pada Khamis, harimau belang itu datang kembali mungkin untuk mengambil mayat mangsa tetapi penduduk yang berkumpul bertindak membuat bising dan memasang mercun untuk menghalaunya,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram