[VIDEO] Ibu selamatkan 2 anak daripada digilis kereta api


  • Benua
  • Selasa, 26 Dis 2023

Tangkap layar seorang wanita dan dua anaknya terjatuh ke landasan kereta api di Bihar, India.

SEORANG ibu dan dua anaknya berdepan detik getir apabila nyaris maut digilis kereta api selepas ketiga-tiga mereka terjatuh ke laluan landasan di Bihar, India pada Sabtu.

Kronologi kejadian berlaku apabila wanita dan dua kanak-kanak itu dilaporkan ingin menaiki kereta api ke Delhi, India dari Stesen Barh Bihar.

Namun, akibat berasak-asak, ketiga-tiganya kemudiannya dirempuh dan ditolak dari platform berkenaan yang sekali gus mengakibatkan mereka tercampak ke laluan landasan kereta api tersebut.

Situasi itu nyata mengundang rasa panik penumpang lain yang menjerit sebaik kereta api mula bergerak dan rata-ratanya cuba menyelamatkan mangsa ketika kejadian.

Keadaan semakin kelam-kabut apabila kereta api mula bergerak sebelum wanita terbabit kemudiannya terus membongkok sambil melindungi anak-anaknya daripada digilis.

Ajaibnya, ketiga-tiga mereka langsung tidak mengalami sebarang kecederaan akibat daripada kejadian tersebut dan suaminya yang menyedari hal itu kemudiannya pantas menyelamatkan keluarganya.

Mereka dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan ketiga-tiganya dilaporkan dalam keadaan stabil. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram